KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak semalam menerima 3,734 pelajar baharu dari seluruh negara yang akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai disiplin ilmu untuk tempoh tiga hingga empat tahun.

Selain itu, Unimas juga turut menerima 267 pelajar pascasiswazah.

Mereka mengangkat sumpah di satu majlis Ikrar Pelajar di Arena Gemilang, kampus Unimas di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim yang mewakili Naib Canselor Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Mendaftar untuk sesi September 2019/2020, pelajar berkenaan dinasihati supaya merebut peluang dengan tekun menuntut ilmu dan memperagakan sikap positif.

Kadim dalam perutusan yang disampaikan Wan Hashim berkata, pelajar baharu itu diharap dapat memainkan peranan sebagai agen perubahan dengan minda kelas pertama dan sikap yang matang.

“Pastikan ibu bapa anda bangga dengan anda, dan anda menjadi relevan dalam era cukup mencabar,” katanya.

Jelas Kadim, para pelajar dapat meraih kejayaan dengan ilmu intelektual, kematangan dan sikap positif.