PERDANA MENTERI Tun Dr Mahathir Mohamad sering mengeluarkan kenyataan berani dan kontroversi.

Kenyataan beliau sering pula mengundang kritikan pelbagai pihak.

Tetapi Perdana Menteri yang punya pendirian tegas itu tidak peduli semua itu kerana baginya yang penting, itulah yang difikirkannya.

Dari buku Dilema Melayu yang diharamkan ketika zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman pada 1970 hingga kini, Tun Mahathir tidak sunyi daripada membuat kenyataan provokatif.

Terpulang kepada kita untuk bersetuju atau menyingkirkan kenyataan beliau. Tentu dengan hujah pejal dan bukan dengan emosi kerana Perdana Menteri ketujuh itu berhujah dengan logika beliau sendiri. Tun Mahathir terkenal dengan ‘My Way’.

Terbaharu Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan terkait etos kerja kaum Melayu. Menulis di blog peribadinya pada Sabtu, Tun Mahathir meminta kaum Melayu bekerja lebih keras untuk mencapai kejayaan dan berhenti melayangkan kemarahan.

Ya, tidak guna menyalahkan atau memarahi pihak luar, termasuk pekerja asing kalau mereka membolot peluang pekerjaan dan perniagaan. Rakyat sendiri perlu melihat ke dalam cermin. Mereka perlu menilai sejujurnya sikap dan peribadi mereka. Adakah mereka orang yang rajin dan sedia berkorban untuk mendapatkan hasil yang halal di negara ini?

“Suku Melayu perlu menyedari apa-apa yang terjadi kepada mereka. Sangat disayangkan, sejauh ini mereka belum sedar.”

Benarkah Melayu dan bumiputera pada amnya belum lagi sedar? Benarkah Melayu dan bumiputera mudah lupa? Adakah mereka masih lagi terperangkap dalam dekad 70-an? Benarkah mereka suka mengambil jalan mudah dalam hidup?

Kaum bumiputera perlu sedar bahawa dalam dunia moden, mereka dituntut menguasai ilmu, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman relevan, termasuk kemahiran berkomunikasi, bekerjasama sebagai satu pasukan padu dan pintar menyesuaikan diri di tempat kerja.

Mereka perlu bangkit dan segera sedar daripada kealpaan kalau benar mereka masih alpa dan mengambil jalan mudah.

Ini era penuh daya saing dan hanya mereka yang berani, berilmu dan berpendidikkan dapat mara. Yang tiada semua itu pasti kecundang.

Jangan salahkan kerajaan kerana yang menentukan kejayaan dan kemajuan diri ialah diri sendiri. Kerajaan hanya menyediakan kemudahan dan wadah.

Selebihnya terpulang kepada individu untuk mengasah dan mencungkil potensi, serta merebut peluang.

Kaum Melayu, kata Tun Mahathir masih enggan bekerja dan membiarkan warga asing mengerjakannya, sehingga warga asing mendadak mendatangi Malaysia.

“Tujuh juta jumlah mereka bekerja di negara kita. Apa yang akan terjadi dengan kaum Melayu jika mereka tidak kunjung sedar,” kritik Mahathir.

Ini betul-betul mengena pada batang hidung, bukan sahaja terhadap melayu tetapi 32 juta rakyat.

Mengapa mereka dari China, India, Bangladesh, Myanmar atau Indonesia sanggup melakukan pelbagai pekerjaan di negara ini

Saya pernah berbual-bual dengan rakyat Bangladesh yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, mengapa dia sanggup ke Malaysia? Katanya, kerana di negara ini, rakyatnya ramah, selamat dan mudah mendapatkan pekerjaan. Dia mengakui mendapat sekitar RM2,500 sebulan.

Malah, bukan menjadi rahsia lagi ada kawasan di ibu kota sudah bertukar menjadi kawasan perniagaan warga asing dari China atau Myanmar. Salah siapa apabila keadaan begini berlaku?

Jadi, mengapa kita biarkan pekerja asing menguasai pasaran kerja di negara ini. Mengapa belia, termasuk siswazah masih banyak yang menganggur? Adakah kerana mereka terlalu memilih pekerjaan? Dan, jalan keluar ialah memperkenalkan gojek?

“Nasib kita ada di tangan kita sendiri. Marah-marah kepada yang lain tidak akan menyelesaikan persoalan. Kaum Melayu tetap miskin kerana tidak mahu bekerja keras dan serius berbisnis,” kata Mahathir mengakhiri kritikannya.

Tulisan Perdana Menteri yang sering dipangggil Dr M ini muncul menjelang rencana kerjasama kubu parti pembangkang UMNO dengan PAS. Kedua-dua parti yang sering menggaungkan isu ras dan agama ini berencana mengadakan aksi pada 14 September mendatang.

Sama ada anda bersetuju atau tidak dengan kritikan dan pandangan Tun Mahathir itu, anda perlu membuat penghakiman dan penilaian sendiri.

Yang penting, anda perlu mengambilnya sebagai satu rangsangan untuk menggterakkan minda, fizikal dan emosi anda supaya mengambil tindakan konkrit untuk memajukan diri dalam apa-apa bidang yang diceburi.

Anda perlu melangkah ke hadapan sesuai dengan cabaran dan tuntutan masa kini.
Jadikan kritikan Perdana Menteri itu sebagai azimat untuk mengubah diri. Walaupun ternyata pahit, rakyat perlu menelannya. Bukankah kita semua menjadi pengagum Mahathir?