Sunday, June 26, 2022

56 Tahun Bersama Malaysia: Sarawak Maju atau Mundur

Secara Rawak

Inilah persoalan yang dibincangkan dalam Forum Pembangunan Sarawak Selama 56 Tahun Pembentukan Malaysia-Maju atau Mundur?, bertempat di  Pustaka Miri baru-baru ini yang dianjurkan oleh Persatuan Prihatin Sibuti Daerah Miri.

Sarawak  maju atau mundur?  Inilah juga bermain di fikiran  dan seterusnya turut ditanya oleh peserta dalam  sekitar 90 orang tersebut. Ada peserta membangkitkan isu sekolah  yang terletak kira-kira sejam dari Miri, masih begitu daif meskipun kerajaan telah bertukar daripada Barisan Nasional ke Pakatan Harapan.

Ada juga berkongsi mengenai pembangunan di Baram yang dikatakan sangat perlahan, meskipun wakil rakyat sudah bertukar ganti. Keluasan Baram hampir menyamai saiz negeri Pahang, dan lebih luas dari negeri utara Semenanjung.  

Parlimen Baram  ialah kedua besar di Malaysia selepas Hulu Rejang  namun mempunyai populasi yang lebih tinggi apabila mempunyai  hampir 40 ribu pengundi. Isu pembangunan infrastruktur asas seperti elektrik dan bekalan air bersih di Marudi, Telang Usang dan Mulu masih lagi berlaku.

Dalam sekitar 5 tahun kebelakangan ini hampir RM 1 bilion diperuntukkan untuk pembangunan Baram termasuklah usaha menarik taraf jalan Miri Marudi, lebih RM 77 juta untuk jalan sebanyak RM 43.2 juta, loji rawatan air sebanyak RM 16 juta, Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar bernilai sekitar RM 21 juta,   membina jambatan merentangi Sungai Baram bernilai RM 115 juta, menaik jalang Long Lama sebanyak RM 5 juta.

 

Malah dianggarkan lebih 250 projek terkumpul, dianggarkan bernilai RM180 juta sejak tahun 2015 untuk pembangunan infrastuktur di Telang Usan agar pembangunan di Baram dirancakkan. Namun kesemua dilihat belum cukup lagi untuk Baram yang dikatakan memerlukan lebih banyak pembangunan agar Baram terkeluar daripada imej kurang membangun.

Membangun atau Mundur?

Ternyata di Sarawak  pembangunan di Sarawak masih lagi dalam proses merancakkan lagi pembangunan. Sarawak merupakan negeri yang sedang membangun sekiranya diukur dari segi angka kemiskinan, sekurang-kurangnya mengatasi Kelantan dan Sabah dari segi angka kemiskinan. Ini juga perlu dilihat  apabila mengambil kira saiz Sarawak hampir menyamai Semenanjung.

Tentulah tidak adil membanding kemajuan Sarawak dengan negeri kecil seperti Selangor dan Pulau Pinang. Namun Sarawak mempunyai kelebihan,iaitu jumlah rizab kewangan negeri Sarawak yang berjumlah RM 33 bilion. Sedangkan rizab negeri Pulau Pinang dan Selangor hanya kurang daripada daripada RM 2 bilion.

Penyertaan anak tempatan

Suara-suara perlunya penyertaan rakyat tempatan lebih banyak  dalam sektor pengeluaran minyak dan gas asli juga disuarakan. Hal ini  dikatakan ramai orang dari luar Sarawak diambil untuk bekerja dalam sektor tua dan tradisi sumber kekayaan negeri Sarawak ini.

Sudah tentu ini memerlukan  suara dalam organisasi itu sendiri, iaitu perlunya kesatuan sekerja yang kuat untuk memperjuangkan isu ini secara lebih sistematik dan berani mengemukakan memo kepada majikan, kerajaan negeri Sarawak dan persekutuan dalam hal ini agar hak anak tempatan terbela.

Sarawak negeri kaya dengan minyak dan sumber asli, namun mengapakah universiti berkaitan petroleum dan kejuruteraan  tidak terletak di Sarawak, namun terletak di negeri Perak yang bukan negeri pengeluar petroleum?

Isu Kebajikan

Dalam forum tersebut juga, golongan OKU juga melahirkan rasa terkilan dan melihat tidak ada perubahan nyata apabila peralihan kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan. Bantuan sara hidup  OKU masih lagi takuk lama sekitar, pembinaan prasarana pula dikatakan masih lagi kurang mesra OKU. 

Begitu juga peluang pendidikan dan pekerjaan bagi golongan OKU masih terhad dan masih ada pihak majikan yang kurang yakin mengambil golongan ini untuk bekerja dalam sektor pekerjaan. 

Kesemua ini memerlukan keprihatinan kerajaan negeri dan persekutuan akan menyemak semula dasar dan pelaksanaan termasuk jumlah bantuan tidak selari dengan peningkatan kos hidup semasa.

Isu ekonomi

Isu ini merupakan isu yang paling dekat di hati rakyat kerana tanpa merngira mana-mana pihak yang memerintah,  isu mengenai pendapatan dan kesejahteraan hidup tidak dapat lari daripada isu ekonomi yang melibatkan peluang pekerjaan, kos hidup yang tinggi, kemudahan perumahan  dan pelbagai isu berkaitan antara satu sama lain.

Jumlah pekerja di Sarawak menerima gaji bulanan kurang RM 1300 agak tinggi dan menjadi negeri ke-4 dari segi statistik selepas Sabah, Kelantan dan Terengganu.  Isu seumpama perlu perhatian menyeluruh dan melibatkan kerjasama kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan pusat. 

Apapun, wacana maju atau mundur Sarawak ia tergantung kepada pendekatan, latar belakang wacana itu sendiri, pemahaman terhadap konsep maju dan mundur itu sendiri. 

Kita tidak boleh menafikan terdapat pelbagai pelaksanaan pembangunan masih lagi berlangsung. Pada masa yang sama  kita tidak boleh menyatakan Sarawak negeri mundur kerana terdapat beberapa negeri di negara ini mempunyai situasi ekonomi lebih rendah daripada Sarawak, walaupun negeri tersebut tidak sebesar saiz Sarawak.

Kayu ukur atau metodologi yang digunakan untuk mengukur kemajuan juga pelbagai.  Begitu juga lokasi tempat di Sarawak sendiri mempunyai ketaksamaan pembangunan seperti di kawasan bandar dan luar bandar. Kesemuanya tertakluk kepada perspektif yang digunakan!    

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.  

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru