PADA 2010 ketika Malaysia bertemu dengan musuh ketatnya Indonesia untuk perlawanan Piala AFF Suzuki, saya kebetulan berada di Jakarta. Ketika mengunjungi dua buah pusat beli-belah terkemuka di jantung kota 12 juta jiwa sekitar jam 2 petang, saya hairan melihat begitu ramai peminat bola berlilitkan kepala sudah berada di sekitar premis berkenaan.

Rupa-rupanya itu kebiasaan rakyat Indonesia. Keadaan gegak-gempita dan begitu bersemangat, dan sekembali ke tempat kediaman sebelum sepak mula pada sebelah malam, di pelbagai tempat saya saksikan warganya menonton beramai-ramai di luar kediaman.

Saya memang tidak berhajat untuk menonton di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta yang mulai menerima penonton untuk Asian Games pada 1962.

Ketika menonton siaran langsung yang dipancarkan melalui pelbagai stesen TV Indonesia, saya amat terkejut melihat bagaimana skuad bola sepak negara terpaksa diiringi menaiki kereta perisai jenis Barracuda ketika keluar dari stadium selepas Malaysia menumbangkan Indonesia dengan keputusan agregat 4-2 aksi final di stadium yang sama pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2010 di venue yang sama.

Namun, pisang nampaknya berbuah dua kali. Ini susulan kekecohan dalam aksi sulung pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang menerima kritikan menyengat daripada pelbagai pihak, termasuk di Indonesia.

Kehadiran ratusan penyokong Malaysia stadium berkenaan nyata tidak disenangi segelintir penyokong Garuda apabila disambut dengan balingan batu dan teriakan provokasi. Beberapa penyokong Indonesia juga cuba merempuh kawasan penyokong Malaysia dan perlawanan terpaksa dihentikan sekitar sepuluh minit.

Para peminat Malaysia mendakwa mereka dibaling dengan objek keras. Ternyata, peminat Malaysia berdepan detik cemas ketika menyaksikan perlawanan dramatik itu. Ya, ini sesuatu yang memang cuba dielakkan oleh mana-mana peminat terutama ketika menonton di negara lain.

Anda sebenarnya terkepung oleh lautan peminat negara terbabit. Nyawa anda di tangan mereka. Anda tidak dapat berbuat apa-apa di tengah-tengah lautan manusia. Anda hanya menyerahkan nasib kepada pasukan keselamatan dan polis untuk melindungi nyawa dan keselamatan anda.

Kejadian itu sesungguhnya mencoreng arang di muka Indonesia. Ini turut diakui sejujurnya oleh penjaga gol Indonesia Andritany Ardhiyasa yang tidak bisa mengekang kekecewaan dan kesedihannya. Sesiapa pun berhak kecewa, malah marah dengan pelakuan tidak bertamadun penyokong terbabit.

Sejujurnya, gangsterisme dan hooliganisme tidak sepatutnya dibenarkan di dalam stadium. Bola sepak bukan perang, tetapi perlawanan menguji daya tahan, stamina, taktik, kemahiran, semangat pasukan dan seumpamanya.

Bayangkanlah kalau kejadian sedemikian berlaku di Malaysia, saya tidak tahu bagaimana agaknya reaksi dan provokasi rakyat negara itu atau medianya. Tentu anda masih ingat beberapa kejadian sebelum ini, dengan ada daripada rakyatnya yang bersiap siaga bagai hendak melancarkan perang.

Hubungan Indonesia-Malaysia sering tidak harmoni dan mudah dikocakkan isu-isu tertentu terutama di pihak Indonesia, termasuk isu budaya, makanan, bendera, pembantu rumah, jerebu, nelayan, dan sempadan.

Yang berlaku di Jakarta itu tidak boleh dibenarkan. Dalam sebarang permainan dan perlawanan pasti ada kalah menangnya. Yang kalau harus menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan profesional, untuk kemudiannya bertekad menewaskan lawan pada waktu lain.

Kekalahan, kekecewaan dan kegagalan tidak harus dilampiskan ke arah lawan dengan menyerang dan mengganas. Ini bukan tujuan perlawanan bola sepak. Bola sepak harus memupuk kedamaian, persefahaman dan perpaduan.

Ya, kekalahan bukan alasan untuk menyerang penyokong lawan. Ini sikap tidak bertamadun. Kalau pasukan tewas, jurulatih dan rakyatnya perlu menilai prestasi dan komposisi pasukannya? Sejujurnya, permainan Malaysia malam Khamis jauh lebih hebat daripada Indonesia, dan inilah punca kekalahan mereka.

Sebenarnya, sudah ada tanda akan berlaku kekecohan dan keganasan sejak awal. Itulah sebabnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dua kali berkunjung ke Jakarta untuk mendapatkan kepastian dari segi keselamatan pemain, pegawai dan penyokongnya.
Seobjektifnya, tidak pernah penyokong Malaysia bersikap keras dan ganas terhadap penyokong Indonesia ketika Garuda bermain di negara ini.

Mengapakah penyokong Indonesia begitu taasub dan emosi? Mengapakah mereka bagai gajah naik minyak? Mengapakah mereka tidak dapat mengawal perasaan? Mana-mana pemain dan penyokong harus bersikap budiman dan beradab, dengan mengelak daripada terjebak dalam pelakuan dan tindakan ganas dan samseng.

Ia tidak membawa sebarang keuntungan, malah merugikan negara terbabit. Kini, Indonesia tidak harus menyalahkan pihak lain. Insiden itu tentu akan merugikan Indonesia dalam perjalanan ke kelayakan Piala Dunia 2022. FAM tentu tidak berdiam diri, sebaliknya, saya percaya akan mengajukan kes itu ke meja FIFA.

Indonesia akan bertandang ke Bukit Jalil pada 19 November nanti. Tidakkah rakyat dan penyokong Indonesia tidak terfikir akan perkara ini atau implikasi dan kesan pelakuan mereka? Tetapi saya percaya, penyokong Malaysia tidak akan membalas api dengan api, suar dengan suar atau besi dengan besi. Jangan balas keganasan dengan keganasan. Sebaliknya, tunjukkan budi pekerti dan akhlak mulia sebagai peminat dan menyokong profesional.

Malaysia perlu mengajar peminat bola sepak Indonesia bagaimana untuk menjadi penyokong kelas dunia yang beradab dan bermentaliti tinggi. Jangan mencontohi peminat bermentaliti kelas rendah. Biar penyokong Malaysia dilihat sebagai penyokong dan tuan rumah profesional yang sentiasa menjaga akhlak dan nama baik diri dan negara di mata dunia lebih-lebih lagi ketika menyambut dan melayan tetamu luar.