Saturday, August 20, 2022

Bimbang tiada lagi pencen 

Secara Rawak

ISU berkaitan pencen dan pembayaran pencen sesuatu yang sensitif dan serius.

Tidak hairanlah isu berkenaan mudah dan pantas memancing minat bukan sahaja penjawat awam yang masih bekerja, tetapi juga mereka yang sudah pencen, serta anak muda yang berminat menyertai perkhidmatan awam.

Beberapa hari lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah berkata, mulai tahun depan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen.

Sebaliknya ia akan digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018.

Ia  mahukan perkhidmatan awam yang ketika ini lebih sejuta dikecilkan secara berperingkat-peringkat dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Jelasnya, skim lantikan kontrak baharu itu, yang kini diperhalusi, akan menawarkan gaji yang lebih menarik serta kebajikan, pelindungan dan jaminan yang lebih baik.

“Lantikan kontrak mungkin tidak menikmati kelebihan macam skim lantikan tetap dan berpencen sekarang seperti pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan namun faedah tersebut mungkin diterjemah dalam bentuk elaun lebih tinggi,” katanya.

Lantikan kontrak yang akan diperkenalkan lebih dinamik dan bersesuaian dengan generasi Y yang tidak begitu ‘setia’ dan memberi mereka opsyen untuk keluar daripada perkhidmatan awam dengan mudah selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu.

Beliau menegaskan bahawa skim lantikan kontrak baharu itu juga tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Awam yang melindungi kepentingan penjawat awam.

Ia  tidak kira berstatus tetap atau kontrak, bagi memastikan perkhidmatan mereka tidak ditamatkan dengan mudah jika tidak terbukti bersalah.

Pada Ogos tahun lalu, JPA turut menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menghentikan bayaran pencen seperti tular di media sosial. 

Sesetengah pihak mempunyai agenda dan motif ketika memanipulasikan isu ini. Mereka sedar ia mudah membangkitkan kemarahan penjawat awam. Mereka cuba menangguk di air yang keruh.

 Isu berkenaan telah mencetuskan perdebatan dan kerisauan dalam kalangan penjawat awam dan golongan muda seolah-olah perkhidmatan mereka kurang dihargai. Bagai tiada lagi jaminan penjawat awam kekal dalam perkhidmatan, sekali gus mungkin menyebabkan sektor awam tidak lagi mempunyai daya penarik.

Apakah alasan di sebalik idea berkenaan? Adakah kerana beban yang semakin berat yang ditanggung oleh kerajaan dari segi pembayaran pencen, tahun demi tahun?

Persoalannya, penjawat awam yang majoritinya Melayu, pasti berasa resah dan bimbang dengan berita sedemikian.

Mereka tidak mahu menjadi mangsa keadaan apabila dikatakan bayaran pencen menjadi bebanan kepada kerajaan. Tidak adakah cara lain untuk mengurangkan beban kewangan, misalnya melalui pelbagai penjimatan projek dan acara yang boros dan membazir?

Mengapa tidak mengambil langkah  mengurangkan jawatan yang bertindan dalam sektor awam atau menyusun semula keanggotaannya supaya sesuatu jabatan lebih efisien?

Satu daripada daya tarikan sektor awam selama ini ialah kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik, yang diberikan kepada penjawat awam.

Penjawat awam berasa lebih selamat berbanding pekerja swasta meskipun dalam kes tertentu gaji yang ditawarkan kepada penjawat awam lebih rendah daripada swasta. 

Ramai yang lebih rela bekerja di sektor awam kerana ada perlindungan dan pencen diperoleh apabila usia tua. Namun jika skim baharu diperkenalkan, apakah keistimewaan seseorang yang bergelar penjawat awam? Inilah kerisauan penjawat awam dan golongan muda yang berminat menyertainya.

Perkhidmatan awam ialah tonggak kekuatan negara. Penjawat awam yang cekap, profesional dan produktif tentu akan melancarkan pembangunan negara.

Jadi, sebelum sebarang skim baharu diperkenalkan, wajar bagi Kerajaan Pakatan Harapan mendengar pandangan dan aspirasi penjawat awam. 

Maksudnya, sebarang perubahan terhadap skim perkhidmatan perlu dibincangkan dengan lebih lanjut. Ia tidak harus dilakukan secara terburu-buru, kerana jika tersalah langkah, ia akan mengundang kesan buruk kepada penjawat awam dan negara pada jangka panjang.

Jangan sampai isu ini terus dipertikaikan dan memudaratkan penjawat awam. Masa depan mereka dalam pekerjaan perlu diberi perlindungan dan jaminan. 

‘Mereka tunjang kekuatan, kemajuan dan kesejahteraan negara. Jangan sampai keutuhan pentadbiran kerajaan dan negara tergugat. Kepentingan dan masa depan penjawat awam perlu dilindungi. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru