KABONG: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Saratok berlangsung hari ini dengan memulakan perjalanan dari pekan Saratok jam 1 tengah hari tadi.

Ketua Konvoi, Florence Sebastian Unting merangkap Pegawai Penerangan Malaysia Daerah Saratok berkata program berkenaan sebagai satu daripada pengisian sambutan Hari Kebangsaan dan juga sambutan Hari Malaysia di daerah tersebut pada tahun ini.

“Konvoi kami bermula dari Saratok dengan disertai oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Saratok, Glen Anthony yang mewakili YB Ali Biju.

“Kami dibantu oleh pihak PDRM Saratok yang diketuai oleh Kopral Rafi Unai. Konvoi kali ini turut dijayakan juga oleh Kelab 4X4 Six Division.

“Dari Saratok konvoi kami bergerak ke Kabong dan seterusnya ke Roban dan seterusnya balik semula ke Saratok.

“Terima kasih atas kerjasama semua yang terlibat serta penduduk yang datang beramai-ramai bagi menyokong kempen ini.

“Semoga dengan adanya kempen sebegini kita semua akan dapat menzahirkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dengan mengibar Jalur Gemilang sepanjang tempoh kempen sehingga ke tarikh sambutan Hari Malaysia pada 16 September kelak, ” ujarnya ketika kembara tiba di pekan Kabong jam 2 petang sebentar tadi.

Ketika berlangsung program kembara berkenaan penduduk yang hadir diagihkan dengan bendera Jalur Gemilang.