KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman nyata kecewa dengan insiden yang melanda penyokong Malaysia di Gelora Bung Karno malam tadi menegaskan beliau akan menuntut bela dengan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatnya di sana.

Kejadian itu didakwa berlaku ketika perlawanan menentang Indonesia bagi aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Perlawanan itu menyaksikan Malaysia menundukkan Indonesia  dengan jaringan 3-2 .

“Sebentar tadi saya bersama-sama penyokong Harimau Malaya menyaksikan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Gelora Bung Karno. Objek besi, botol dan suar dicampak kepada kami beberapa kali,” katanya.

Media melaporkan, sekurang-kurang seorang penyokong Malaysia disahkan mengalami kecederaan akibat insiden serangan yang dilakukan oleh penyokong Indonesia.

Menerusi muat naik Twitternya, Syed Saddiq  menegaskan gangsterisme tidak boleh dikompromi dalam apa jua bentuk, melihat kepada tindakan ganas penyokong pasukan Garuda yang membaling objek berbahaya termasuk botol, besi dan suar.

Beliau juga menyampai maklum bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat aduan rasmi kepada badan induk bola sepak dunia, FIFA ekoran insiden memalukan ini.

Katanya, bola sepak sepatutnya menjadi medan penyatuan dan apa yang berlaku pada malam Khamis adalah sangat menyedihkan.