KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan di perkarangan Jalan Stampin Timur, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata, serbuan dilakukan atas maklumat risikan dijalankan sekitar 4 petang ketika suspek sedang berdiri berhampiran tiang lampu di perkarangan apartment di kawasan terbabit.

“Serbuan berjaya menahan suspek, 33, sedang menggenggam satu beg plastik hitam berikat pada tangan kanannya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati plastik tersebut berisi 11 peket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu(60 gram),” jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, suspek yang turut disahkan positif dadah Methamphetamine dan Amphetamine tersebut kini berada di lokap balai polis Sentral Kuching bagi siasatan dan tindakan lanjut dilakukan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum mati.

Sementara itu, dua lelaki Indonesia yang membawa dadah jenis syabu turut ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan Masjid Bintulu, sekitar 1 tengah hari, semalam.

Menurut Hasnir, hasil serbuan BSJND Bintulu menjumpai satu beg berwarna hitam berisi ketulan-ketulan Kristal disyaki dadah jenis syabu kepunyaan suspek masing-masing berusia 25 dan 28 tahun itu.

“Kedua-dua suspek itu ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 masih dalam proses permohonan reman, kini mereka ditahan di lokap balai polis Bintulu untuk siasatan lanjut.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara tidak lebih daripada lima tahun dan dihukum sebat tidak lebih daripada sembilan sebatan,”ujarnya dalam kenyataannya semalam.

Dalam pada itu, Hasnir turut berterima kasih kepada orang awam yang peka dan bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu mencegah aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di negeri ini.

Justeru, beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan perkara tersebut untuk tampil menyalurkan kepada pihaknya bagi tujuan pencegahan dilakukan dengan kadar segera.