BINTANGOR: Prihatin dengan kekangan yang dihadapi para pesakit dan warga kerja di Klinik Desa Bintangor, Ahli Dewan Undangan Negeri Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing meluangkan masa melawat dan meninjau kemudahan di klinik tersebut semalam.

Semasa melakukan kunjungan itu, beliau beramah mesra dengan petugas dan para pesakit sambil melihat kemudahan yang terdapat di klinik desa tersebut.

Pemeriksaan mendapati beberapa unit pendingin hawa, komputer dan LCD Projector yang sedia ada di situ sudah tidak berfungsi lagi.

Sebelum beredar, beliau menyatakan komitmen untuk menyumbang 10 unit pendingin hawa, dua unit komputer dan seunit LCD Projector kepada klinik desa tersebut.

Ding juga menyatakan akan menaik taraf bilik tibi dan membina bumbung tempat letak kenderaan di Klinik Desa Bintangor menerusi projek transformasi luar bandar (RTP) tahun depan.

Turut mengiringi beliau semasa melakukan lawatan itu ialah Pegawai Kesihatan Daerah Meradong, Dr Abg Mohd Halidi.