Suhu politik di N.33 Engkelili tiba-tiba naik pada minggu lepas selepas pertikaman lidah di media oleh ahli serta pemimpin PRS, SUPP dengan penyandang DUN Engkelili iaitu YB Dr Johnical Rayong. Kenyataan balas antara mereka menghangatkan suhu politik di N.33 Engkelili. Pertikaman lidah dalam media ini sudah memberi isyarat bahawa semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke – 12 nanti sudah pasti akan lebih meriah serta panas.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan menggalas tugas untuk merampas kembali kerusi DUN Engkelili ini daripada PSB pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke – 12 nanti. DUN Engkelili yang merupakan kerusi yang diperuntukkan kepada SUPP kini ditangan PSB yang dahulu dikenali sebagai UPP.

Penyandang, Rayong yang kini bersama PSB merupakan anak tempatan yang masih mempunyai sokongan dan dukungan akar umbi yang kuat di N.33 Engkelili. Penyandang yang merupakan bekas ahli SUPP memenangi kerusi DUN N.33 Engkelili pada PRN 10 dalam pertandingan empat penjuru dengan mendapat 4928 undi dilihat mula mencorak karier politik beliau dengan mendapat sokongan serta dukungan akar umbi di Engkelili.

Cengkeman kukuh Rayong di DUN Engkelili makin terserlah apabila menjadi calon langsung BN Sarawak pada PRN 11 dengan memberi kemenangan kepada BN Sarawak yang kini GPS. Pertambahan undi beliau membuktikan beliau semakin diterima oleh rakyat di akar umbi. Persoalannya, mampukah SUPP merampas kembali kerusi DUN Engkelili ini pada PRN 12 nanti? Sama-sama kita perhalusi persoalan ini.

SUPP merupakan salah satu parti komponen di dalam GPS. SUPP diperuntukkan dua kerusi majoriti Iban iaitu N.32 Simanggang dan N.33 Engkelili selain kerusi majoriti masyarakat cina di bandar. SUPP mempunyai tanggungjawab yang berat untuk merampas serta mempertahankan kedua-dua kerusi DUN ini. Sejauhmanakah SUPP dapat memikul tanggungjawab ini? Sama-sama kita ikuti perkembangan politik di kawasan ini.

Bagi N.33 Engkelili, suhu politik sudah dapat dirasakan walaupun belum PRN 12 lagi. Ini menunjukkan DUN Engkelili bakal menyaksikan persaingan sengit di antara penyandang dan parti-parti politik yang akan menentang beliau iaitu SUPP/GPS dan PH.

SUPP perlu bergerak aktif dan mengenalpasti bakal calon yang boleh memberikan saingan kepada penyandang di DUN Engkelili. Calon mesti di pilih dalam kalangan anak tempatan di DUN Engkelili. Penyandang yang ternyata masih mempunyai sokongan dan dukungan akar umbi sudah pasti sukar untuk ditewaskan.

Rentetan daripada itu, SUPP perlu mengatur strategi atau pendekatan yang padu sekiranya ingin menyaingi penyandang di kerusi DUN Engkelili. Kemenangan bukan jaminan bagi SUPP, namun apa yang penting SUPP mesti mengetengahkan calon yang dapat bersaing semasa PRN ke – 12 nanti. Persoalannya, sudahkah SUPP mengenalpasti calon-calon yang berpotensi untuk bertanding di DUN Engkelili semasa PRN 12 nanti? Apakah ciri-ciri calon yang bakal diketengahkan oleh SUPP? Persoalan ini harus dirungkai oleh SUPP dengan sebaik-baiknya.

Faktor calon mungkin akan menjadi faktor utama dalam menentukan kemenangan parti-parti politik yang bertanding di DUN Engkelili semasa PRN 12 nanti. Calon yang dikenali serta mesra rakyat serta mempunyai empati kepada rakyat sudah pasti mempunyai kelebihan untuk dipilih oleh rakyat. Ini adalah tuntutan politik pada masa kini. Pemimpin yang dipilih oleh rakyat harus bekerja untuk rakyat.

Di DUN Engkelili, penyandang amat terkenal dalam kalangan rakyat kerana sentiasa bergerak di akar umbi menyantuni rakyat yang telah memilih beliau sebagai wakil rakyat. Beliau yang aktif dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat menyebabkan beliau masih mendapat sokongan dan dukungan dalam kalangan rakyat sehingga ke hari ini. Persoalannya, mampukah SUPP mencari calon anak tempatan yang berjiwa rakyat seperti penyandang DUN Engkelili ini?

Apa pun, sekiranya tiada angin perubahan politik di DUN Engkelili, bahang politik ini sudah pasti kian membara menjelang PRN 12 nanti. Terbaru, pemimpin di akar umbi bagi kedua-dua belah pihak sudah bersuara mengenai sokongan kepada pilihan masing-masing. Harus di ingat, politik sekarang tidak boleh di ukur melalui sokongan pemimpin akar umbi sahaja, malah semua lapisan rakyat yang layak mengundi mesti diambilkira.

Pemimpin akar umbi tidak boleh menentukan siapa pilihan rakyat dibawah jagaannya. Ia terpulang kepada individu untuk memilih siapa yang disokong. Ya, DUN Engkelili bakal mempertontonkan aksi politik yang menarik pada PRN 12 nanti. Sama-sama kita nantikan dan harus pastikan tiada yang demam dengan kehangatan bahang politik ini nanti. Tugasan merampas DUN Engkelili ini pasti perlukan komitmen yang tinggi SUPP. Bersediakah SUPP?

Penulis ialah penganalisis politik yang juga pensyarah politik di Universiti Malaysia Sarawak.