MIRI: Keperluan ini tidak hanya kepada sekolah-sekolah di bandar, tetapi juga sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari b Tun Openg telah membawa 3D modeling tanpa wayar internet yang memberi manfaat kepada pelajar-pelajar di sekolah yang terletak di luar bandar dan pedalaman Sarawak.

“Ini bermakna bahawa sudah datang infrastruktur internet tanpa wayar di kawasan Long San.

“Kerana itu adalah 3D modeling menggunakan satelit tiada tarik. Tiada pusing-pusing. Dia pusing sendiri.

“Ini adalah pembangunan yang baharu. Kita bawa ke kawasan ini dan saya yakin bahawa ini akan memberi manfaat kepada anak-anak kita di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran Perkhidmatan Rangkaian Internet Tanpa Wayar SMK Temenggong Datuk Lawai Jau, Long San Baram, kelmarin.

Kemudahan infrastruktur internet ini mempunyai kelajuan 10Mbps kepada pelajar dan bagi komuniti pula kelajuan internet yang disediakan adalah sebanyak 30Mbps.

Sementara itu, bagi Pengetua Rechard Emang beliau melahirkan rasa gembira atas kehadiran Ketua Menteri dan mengotakan janjinya dalam menyediakan perkhidmatan internet di sekolah ini.

“Saya bagi pihak sekolah sangat gembira mengalu-alukan kehadiran Ketua Menteri ke SMK Temenggong Datuk Lawai Jau, Long San Baram.

“Ini kali kedua beliau datang ke sekolah ini dan kami warga sekolah begitu sangat gembira sekali masih lagi datang dan mengotakan janji beliau pada 2017 dengan membuat internet dan beliau melancarkannya.

“Bagi harapan kami di sekolah, kita harapkan terus menikmati kemudahan internet tanpa wajar seperti ini di sekolah kita. Ia akan menjadi pemangkin dan semangat kepada kami khasnya kepada pelajar-pelajar,” ujarnya.

Bagi pelajar SMK Temenggong Datuk Lawai Jau, Yustiana Andrew yang ditemui menyambut baik perkhidmatan internet yang disediakan Kerajaan Negeri Sarawak kepada sekolah ini.

“Kami sangat gembira kerana selepas ini kami dapat melayari internet dengan lancar. Kita belajar melalui tuisyen dengan menggunakan tablet,” katanya.

Kemudahan internet tanpa wayar di Long San turut diselarikan dengan penggunaan Sarawak Pay, di samping kemudahan perbankan yang disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).