JAKARTA: Perjuangan Malaysia dalam misi mara ke Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula esok apabila skuad bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe bakal diuji berdepan musuh tradisi, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, malam esok.

Ia ialah perlawanan pembukaan Kumpulan G saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas Malaysia mudah membelasah Timor Leste 12-2 secara agregat pada pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lepas.

Berdasarkan statistik, kedua-dua pasukan merekodkan 95 pertemuan sejak 1957 dengan Malaysia memenangi 35, seri 21 dan tewas 39 kali.

Namun, Cheng Hoe secara peribadi enggan menjadikan rekod dan sejarah pertemuan sebagai kayu pengukur untuk meraih tiga mata berharga sekali gus menamatkan badi 15 tahun tanpa sebarang kemenangan di stadium keramat skuad Garuda itu.

“Kita tengok sejarah, rekod menentang Indonesia lebih berpihak kepada mereka dan sebenarnya bukan mudah berdepan mereka terutama apabila kita bertandang ke Gelora Bung Karno,” katanya seperti dipetik Bernama.

“Rasanya kita tidak perlu lagi terlalu memandang tentang rekod dan sejarah. Kita perlu maju ke hadapan buka lebaran baru sebab pasukan ini mempunyai jurulatih berbeza dan set pemain berbeza berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang media pra perlawanan Indonesia dan Malaysia di sini, hari ini.

Kali terakhir Malaysia berjaya menundukkan Indonesia di Gelora Bung Karno adalah pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2004 yang menyaksikan skuad kendalian Bertalan Bicskei meraih kemenangan tipis 2-1.

Sehubungan itu, Cheng Hoe mengakui mahu menikmati ‘penampilan’ pertamanya di stadium keramat itu dalam keadaan serta suasana harmoni selepas melalui sejarah hitam sebagai pembantu jurulatih ketika Malaysia menjulang trofi Piala AFF 2010.