TIGA hari lalu, ketika di Kemboja, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 94 tahun menyatakan tiada keperluan bagi had usia persaraan sedia ada dilanjutkan kepada 65 tahun.

Kenyataan Perdana Menteri itu sebagai mengulas cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya had usia persaraan di Malaysia dilanjutkan kepada 65 tahun seperti dilakukan dalam kalangan negara maju, termasuk Singapura.

Jelasnya, had usia persaraan 60 tahun yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini sudah cukup memadai dan tiada keperluan untuk ia dilanjutkan.

Beliau berkata, secara rasionalnya, sebahagian besar individu pada lingkungan usia itu tidak lagi mampu bekerja secara cekap selain berdepan beberapa kekangan berkaitan, termasuk faktor kesihatan.

Memang ada yang sudah menjadi kayu mati, kurang sihat dan tidak berminat bekerja. Sebahagian memang ada yang masih berminat dan ghairah.

“Zaman saya dulu, kita pernah menaikkan had usia persaraan ini daripada 55 ke 56 tahun sebelum dilanjutkan kepada 60 tahun oleh kepemimpinan (negara) selepas saya. Bagi saya, cukuplah sampai 60 tahun itu,” kata Perdana Menteri yang disifatkan umum masih cergas walaupun sudah mencecah usia sembilan dekad.

Pergerakan Tun Mahathir benar-benar menguji dan mencabar mereka yang jauh lebih muda. Selepas lawatan tiga hari ke Kemboja, kini beliau sudah berada di Rusia.

Ya, kini terdapat perdebatan hangat perlu tidaknya usia persaraan dilanjutkan daripada 60 kepada 65 tahun. Tentu ada yang menyokong, dan tidak kurang pula ada yang membantah. Ini memang wajar.

Yang menyokong dengan hujah pejal masing-masing, dan yang tidak bersetuju pula dengan alasan tersendiri.

“Jangan samakan dengan saya….saya sudah dan pernah bersara tetapi ‘dipanggil’ semula untuk bekerja,” katanya.

Dr Mahathir juga senada dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menyatakan langkah melanjutkan usia persaraan itu akan menghalang golongan belia mengisi jawatan bersesuaian dalam sektor pekerjaan.

Alasan golongan yang tidak bersetuju, kalaulah golongan ini tidak pencen, bila lagikah ada peluang anak muda mengisi kekosongan berkenaan?

Seyogia diingatkan ketika ini terdapat 10.3 peratus belia menganggur, iaitu tiga kali ganda lebih daripada kadar nasional, iaitu 3 peratus. Sampai bilakah mereka ini dapat menunggu untuk mendapat pekerjaan?

Ia dapat jadi bom jangka yang dapat meledak pada bila-bila masa jika semakin ramai yang menganggur dan kecewa kerana tidak mendapat pekerjaan dan menyara kehidupan.

Pendirian itu turut ditegaskan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar apabila beliau menjelaskan kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan had umur persaraan penjawat awam daripada usia 60 tahun ketika ini kepada 65 tahun.

Katanya, keputusan itu muktamad dan terkini dibuat oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pembaharuan Perkhidmatan Awam yang bermesyuarat pada Mac lalu.

Ismail mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran yang menyatakan bahawa kementerian itu sedia memperhalusi cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk meningkatkan had usia persaraan daripada 60 tahun sekarang kepada 65 tahun.

Pada ketika ini, 10 peratus daripada 31 juta penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas.

Angka ini sudah tentu akan terus meningkat dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang. Jadi, ada kewajaran usia persaraan ditingkatkan apatah lagi jangka hayat rakyat semakin meningkat.

Ketetapan untuk mengekalkan had usia persaraan perkhidmatan awam itu diputuskan kerajaan berdasarkan pelbagai pertimbangan, termasuk untuk memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di negara ini. Keputusan itu juga selaras dasar ditetapkan kerajaan untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam sebanyak lima peratus menjelang 2021.

Mulai tahun ini kerajaan sudah mengambil langkah mengurangkan bilangan kakitangan awam sebanyak satu peratus, diikuti dua peratus masing-masing pada tahun 2020 dan 2021.

Sehingga kini, umur persaraan penjawat awam di negara ini sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun. Kali pertama, had usia persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001.

Ini diikuti tujuh tahun kemudian, apabila usia persaraan dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008, manakala empat tahun kemudian had usia persaraan sekali lagi mengalami perubahan daripada 58 tahun kepada 60 tahun pada 2012.

Berdasarkan sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), usia 60 tahun merupakan usia bagi banyak negara, sebanyak 60 negara menetapkan usia persaraan pada 60 tahun, manakala usia 65 tahun merupakan kedua tertinggi, iaitu di 35 negara.

Di rantau Asean, tujuh daripada 10 negara dalam blok berkenaan, menetapkan usia 60 tahun sebagai usia persaraan wajib.

Sesungguhnya, pelbagai negara menggunakan had yang berbeza, bergantung kepada tahap kemajuan dan pendirian kerajaan terbabit. Antara negara yang kini membataskan kepada usia 60 tahun selain Malaysia, ialah Brunei, Thailand, Vietnam, Laos, China dan Filipina. Malah negara terbabit mengenakan had berlainan untuk pekerja wanita, iaitu purata pada usia 55 tahun.

Kemboja masih pada usia 58 tahun, Indonesia 58 tahun, manakala negara seperti United Kingdom dan Australia 65 tahun, Jepun dan Singapura 62 tahun.

Mengapa tidak dianjakkan usia persaraan peringkat demi peringkat seperti yang bakal dilakukan negara kota Singapura?

Negara itu bercadang menaikkan usia persaraan daripada 62 tahun ketika ini kepada 63 tahun pada 2022, dan kepada 65 tahun pada 2030.

Singapura mempunyai undang-undang yang mensyaratkan syarikat menawarkan pekerja yang layak pilihan untuk bekerja sehingga 67 tahun apabila mereka mencecah usia 62 tahun.

Singapura merupakan negara berpendapatan tinggi berbanding Malaysia yang dapat dikategorikan sebagai negara pertengahan atas dari segi pendapatan.Negara tertinggi dari segi usia persaraan ialah Belanda pada usia 68 tahun, manakala Denmark dan Norway pada usia 67 tahun. Tetapi harus diingat, satu daripada ciri umum negara berkenaan ialah, jangka hayat rakyatnya berada pada paras 80 tahun ke atas.

Sudah pasti menaikkan usia persaraan secara mendadak akan memberi kesan langsung kepada 1.6 juta kakitangan. Berdasarkan peruntukan 2019, emolumen sahaja mencecah 31.6 peratus daripada perbelanjaan mengurus, manakala untuk persaraan memakan 10.2 peratus kos operasi.

Jadi, kalaupun hendak menaikkan usia persaraan, ia harus dilakukan secara berperingkat-peringkat seperti yang dilakukan oleh Singapura, dan bukan membuatnya secara mendadak terus kepada 65 tahun.

Pendekatan lain yang dapat diambil adalah membenarkan golongan profesional tertentu seperti pakar dalam bidang perubatan yang bekerja di hospital dan juga profesor pakar di universiti melanjutkan usia persaraan wajib kepada 65. Ya, memang ketika ini ada amalan memberi mereka kontrak.

Alasannya, bukan mudah hendak mencapai tahap kepakaran amat tinggi. Lagipun, untuk sampai ke takah itu, memakan masa puluhan tahun dan perlu melalui pelbagai latihan dan kursus.

Dan, bukankah negara dan rakyat juga untung daripada kemahiran dan pengalaman serta keterampilan mereka ini?

Apa-apa pun, anda perlu terus dapat berdebat tentang isu ini dengan alasan masing-masing.