Sunday, September 25, 2022

COLA: Bukan penyelesaian menyeluruh, kata pakar ekonomi

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) disifatkan langkah jangka pendek untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di negara ini.

Pakar ekonomi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, perkara tersebut bukan suatu langkah penyelesaian menyeluruh serta bukan bersifat jangka panjang.

“Kalau kita dengar cadangan itu nampaknya seperti menarik kerana menambahkan pendapatan isi rumah, tetapi perkara ini tidak boleh menggunakan jalan pintas menyelesaikan masalah kemiskinan.

“Saya akui COLA mungkin akan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah tetapi hakikatnya kita harus berbalik kepada kedudukan asalnya terutamanya kedudukan ekonomi negara,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Kelmarin, MTUC menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian COLA bulanan sebanyak RM500 atau lebih kepada pekerja menerusi Bajet 2020, selain meningkatkan had umur persaraan mandatori kepada 65 tahun.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, adalah lebih baik kerajaan memberi tumpuan terhadap aspek yang lebih berstruktur dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan negara.

“Pada saya, adalah lebih berkesan sekiranya kerajaan melihat langkah lebih memberi impak positif menyelesaikan isu ini termasuk menumpukan usaha bagaimana untuk meningkatkan pendapatan dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah (B40) yang lebih lestari sekali gus tidak memberi tekanan kepada mereka.

“Selain itu, rakyat Malaysia perlu mempelajari cabaran semasa dalam mendepani negara yang lebih maju serta perubahan dalam ekonomi negara,” katanya. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru