SUATU ketika dahulu, Jambatan Satok merupakan satu daripada destinasi pelancong dari dalam dan luar negeri yang wajib dikunjungi.

Bagi warga Kuching, ia merupakan satu kebanggaan dan banyak meninggalkan kesan nostalgia dan kenangan manis.

Isu berkaitan Jambatan Gantung Satok menjadi tular beberapa hari lalu.

Melalui catatan pemilik akaun Facebook berkenaan, beliau mendakwa jambatan itu mengalami keretakan di blok utama.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing kesal dengan kejadian itu dan menyelar  pekerja projek terbabit.

“Persoalannya sekarang ialah: Siapa yang bersalah? Adakah kesilapan dari segi reka bentuk atau kesalahan kontraktor?,” tanya beliau.

Jawapan perlu diberi dan pihak terbabit perlu memikul tanggungjawab.

Menegaskan para jurutera sepatutnya dapat menjangka segala kemungkinan apabila ia direka bentuk, beliau berkata: “Itulah sebabnya kita menugaskan mereka.”

Disebabkan masalah berkenaan, Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan mengarahkan laluan ke jambatan berkenaan ditutup kepada orang ramai.

Jadi, apabila jambatan itu roboh pada 2004 apabila dipercayai dilanggar tongkang, tentu kenangan itu bagi mereka bagai roboh bersama-sama dengan jambatan itu.

Ketika itu, banyak pihak yang menggesa agar jambatan itu dibina semula dengan mengekalkan identiti asal.

Dikatakan ada yang pernah membunuh diri  dengan terjun dari jambatan itu.

Ada juga yang membelai cinta  di situ sehingga berakhir di jinjang pelamin.

Sejarah pernah tercatat apabila jurulatih pasukan bola sepak Sarawak ketika itu, Awang Mahyan Awang Mohamed terjun dari jambatan ini pada 1989.

Beliau mengetuai beberapa pemain dan penyokong Sarawak terjun ke sungai pada pukul 11 pagi, sambil disaksikan para penyokong.

Tindakan yang disifatkan sebagai kontroversi sekali gus sebagai gimik itu, mendapat liputan meluas media  tempatan dan nasional ketika itu, termasuk stesen TV ternama.

Tindakan Awang Mahyan adalah untuk menunaikan  janji kepada para pemain bimbingannya selepas Ngap Sayot, pasukan bola sepak Sarawak yang dilatihnya berjaya melangkah ke suku akhir Piala Malaysia pada tahun 1989.

Sebenarnya jambatan berkenaan dirancang Rajah Putih Kedua, Charles Brooke pada 1902.

Sebenarnya, pelbagai punca menyebabkan pembinaannya tertangguh hinggalah Charles meninggal dunia.

Namun, impian Charles tidak terkubur bersama-sama jasadnya, kerana ia kemudiannya disambung dan dihidupkan semula oleh anaknya.

Anaknya, Charles Vyner Brooke yang menjadi Rajah Putih Ketiga, merealisasikan jambatan itu.

Justeru, bagi memastikan impiannya tercapai,  beliau telah mengupah arkitek terkemuka Eropah, A.S Lowe untuk mengetuai projek  itu.

Pembinaan jambatan itu hanya  bermula pada 1923.

Dengan kos AS$52,000, jambatan berketinggian 18 meter dari aras Sungai Sarawak   itu siap sepenuhnya pada 1926 seterusnya menjadi kebanggaan semua.

Selepas 15 tahun lenyap dari pandangan, Jambatan Gantung Satok, di sini dijangka kembali menjadi mercu tanda Bandaraya Kuching, September ini.

Jambatan pejalan kaki itu yang dibina pada era pemerintahan Rajah Brooke itu  ditutup kepada laluan orang ramai pada 1992.

Selepas 12 tahun berselang, jambatan ikonik yang bersejarah merentangi Sungai Sarawak itu menyembah bumi pada 7 Oktober 2004.

Sejak itu, ramai yang menganggap jambatan yang memberi sumbangan besar dalam perkembangan Kuching sehingga muncul sebagai sebuah bandar raya itu akan lenyap selama-lamanya.

Namun pada 2017, Kerajaan Sarawak memberi khabar gembira terutamanya kepada pencinta sejarah serta penduduk Kuching apabila mengumumkan projek untuk membinanya semula.

Jurucakap JKR Kuching memberitahu media ketika itu,  jambatan baharu ini kelak adalah sepanjang 213 meter, dengan lebar 3 meter.

“Ia direka mengikut piawaian ‘British Standard’ (BS) merangkumi menara dan blok utama untuk memegang kabel penggantungan.

“Manakala tinggi dek jambatan 6 meter turut disertakan dengan tangga dan tanjakan pada kedua-dua hujungnya.

“Semua bahan keluli yang digunakan adalah kalis hakisan dan karat,” katanya.

Menurut Ketua Menteri  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, keputusan membina semula jambatan gantung berkenaan dengan kos RM8.05 juta adalah kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi selain menjadi tarikan pelancong.

Pastinya pembinaan semula jambatan ini akan menarik ramai pelancong tempatan dan asing. Ini akan sekali lagi memberi nafas kepada jambatan bersejarah itu.