Saturday, August 20, 2022

Politik Merdeka dan pembangunan

Secara Rawak

Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 sepatutnya menandakan  kematangan hidup bernegara. Maksudnya di sini, terlalu lama masa sudah digunakan untuk membina negara daripada segi ekonomi, politik dan sosial. Pelbagai cabaran negara telah diharungi.

Ketika Semenanjung Tanah Melayu mendapat kemerdekaan, Tanah Melayu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.  Ketika itu, belum ada lagi Malaysia kerana pembentukan Malaysia hanya ditubuhkan pada 16 September 1963.

Semenanjung Malaysia mempunyai  sejarah yang panjang sebelum pembentukan Malaysia, seperti perjuangan untuk mendapat kemerdekaan, menyatukan pelbagai kaum di Semenanjung sebelum merdeka kerana pihak British mensyaratkan perlu ada kerjasama kaum sebelum kemerdekaan. 

Kaum Cina yang kurang berminat dengan politik, digesa berpolitik agar dapat menyuarakan kepentingan kaum mereka. Ketika itu kaum Cina lebih menumpukan perhatian kepada membina ekonomi mereka sahaja. Di sinilah MCA ditubuhkan apabila galakan berpolitik digerakkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Gerakan nasionalisme Melayu telah menubuhkan parti UMNO sebagai gerakan perjuangan untuk mendapat kemerdekaan secara aman tanpa pertumpahan darah. Cadangan penubuhan Malayan Union berjaya menyatukan orang Melayu dalam berpolitik. 

Terdapat parti lain yang dianggap kiri juga memperjuangkan kemerdekaan, namun British melihat parti-parti tersebut sebagai gerakan kiri sedangkan UMNO dililihat sebagai parti yang dapat dikawal kerana pemimpin-pemimpin utama kebanyakan berpendidikan Inggeris dan mempunyai cita rasa barat.

Sabah dan Sarawak

Di Sabah dan Sarawak juga mempunyai gerakan untuk merdeka.  Selepas pendudukan Jepun dalam perang dunia ke-2, Sarawak menjadi tanah jajahan pada tahun 1946 apabila pemindahan wilayah pentadbiran kolonial.

Tindakan ini menyebabkan bantahan daripada rakyat Sarawak yang membawa kepada pembunuhan Duncan Stewart, gabenor kedua Tanah Jajahan, oleh Rosli Dhobi.  Idea Malaysia telah diperkenalkan oleh Tunku Abdul Rahman bagi memastikan Sabah dan Sarawak mampu membanteras komunis agar tidak menjejaskan politik serantau, dapat mengimbangkan posisi kaum di semenanjung Malaysia. Selain itu, dapat meningkatkan kemajuan ekonomi Sarawak dan Utara Borneo  dan dapat mempercepatkan kemerdekaan kedua-dua negeri ini.

Sarawak mendapat pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963, apabila kabinet tempatan mula dibentuk dan dijadikan sebagai Hari Sarawak untuk mengingati tarikh tersebut.  Ketika itu Gabenor terakhir Alexander Waddel meninggal Astana dan menaiki sampan untuk menyeberangi Sungai Sarawak, menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada rakyat Sarawak dan bendera kolonial diturunkan dan bendera Sarawak dinaikan. Pelantikan Ketua Menteri Sarawak pertama  dilakukan. Inilah menjadi simbol penting tarikh 22 Julai 1963 ini.

Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) akhirnya merdeka dan membentuk Malaysia pada 16 September 1963.  Meskipun, tarikh kemerdekaan Sabah dan Sarawak berbeza dengan Semenanjung Persekutuan Tanah Melayu, sejarah  kebudayaan yang hampir sama perlu diraikan.

Meraikan semangat kemerdekaan

Semangat  menghargai turut meraikan Hari Kebangsaan negara ialah semangat bersama sebagai warga negara yang bertanggungjawab, menghormati sejarah perjuangan kebangsaan dan saling memahami mengenai pembentukan sejarah negara. 

Berdasarkan sejarah kebangsaan inilah  sikap saling menghormati antara satu sama lain, bertoleransi dan mengelakkan sikap melampaui. Isu sentimen etnik digunakan oleh politik sempit sepatutnya dihindari dan ditolak bagi memastikan fokus kepada isu ekonomi negara dan permasalahan negara utama lain seperti peluang pekerjaan, isu perumahan dan menangani kos hidup dan perkhidmatan yang semakin meningkat. 

Sekiranya terus terjebak isu etnik dan agama berterusan yang tidak akan dapat ditangani selagi tidak ada toleransi  dan persefahaman. Pemahaman sejarah yang tipis dan kurang menghayati perlembagaan negara yang memberikan sempadan yang jelas adalah antara faktor ketidakjelasan segelintir masyarakat. Golongan ini berhujah dengan emosi dan tidak berpandukan fakta sejarah dan perlembagaan negara.

Isu seperti menterbalikkan bendera negara, mengubah warna bendera tidak akan berlaku sekiranya  mempunyai semangat cintakan akan negara, menghormati undang-undang negara, bertatasusila dan mempunyai adab yang tinggi dalam hidup bermasyarakat. Pendidikan sempurna ialah apabila mempunyai sikap murni, tahu menghargai sejarah dan budaya, serta tidak seimbang dari segi akhlak dan sahsiah hidup.

Warganegara yang baik akan berpegang teguh kepada rukun negara yang menegaskan kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan. Apabila lima aspek kurang dihayati, maka gagallah sebuah bangsa idaman  yang diidamkamkan untuk menyatukan rakyat di negara ini.

Maka sesuatu langkah yang tegas perlu dibuat untuk membendung segelintir rakyat yang memandang remeh perpaduan dalam bermasyarakat dan bernegara. Pendidikan sivik harus dipupuk dari rumah supaya anasir pemikiran penuh dengan prasangka dan melampau dapat dihindari. Peranan ibubapa menerapkan pemikiran harmoni antara kaum penting sejak peringkat awal dan bukannya menanamkan benih kebencian  yang boleh mengancam perpaduan dan ketidakstabilan negara pada masa depan. 

Untuk bergerak ke arah kemajuan dan dinamisme, rakyat di negara ini tidak mempunyai pilihan lain. Mereka perlu menolak politik kebencian, politik perkauman sempit dan kembali kepada politik perpaduan dan pembangunan kukuh.

Wawasan 2020 tidak dapat dicapai mengikut tempoh yang ditetapkan kerana fokus pembangunan dan pencapaian ekonomi yang disasarkan tidak dicapai.  Hal ini kerana perubahan ekonomi secara menyeluruh masih belum dapat dilaksanakan. Jurang ekonomi masih lagi melebar dan isu etnik kurang dapat ditangani. Inilah cabaran negara  perlu ditangani dengan mengambil semangat hari kebangsaan negara! 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru