KITA wajar berasa bimbang dengan perkembangan hubungan etnik dan agama di negara ini. Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu kontroversi dan hangat yang dapat mencetuskan ketegangan hubungan kaum dibangkitkan. Segalanya dilihat dari perspektif etnik oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan mereka yang punya agenda tersendiri.

Golongan ini tidak mempedulikan kesan negatif daripada kenyataan dan komen melulu yang dibuat melalui media sosial. Media sosial yang menjadi wadah bebas digunakan tanpa rasa tanggungjawab.

Bagi mereka, kebebasan bersuara perlu diuji lebih-lebih lagi di bawah pemerintahan Pakatan Harapan yang menjanjikan kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Mereka bermain dengan api perkauman dengan mengeksploitasikan isu sensitif berkaitan agama, kaum, budaya, isu diraja, dan sebagainya.

Individu atau kumpulan terbabit membuat komen dan menulis tanpa fakta dan sering membuat generalisasi. Mereka tidak mempedulikan perasaan etnik dan penganut agama lain asalkan mereka puas melepaskan perasaan. Yang merisaukan, mereka bukan menulis berdasarkan fakta dan realiti, tetapi berasaskan prasangka dan kesendengan yang melampau.

Gambar hiasan

Bagi golongan terbabit, mereka bagai hidup dalam lingkungan mereka sendiri. Bagi mereka, pedulikan etnik dan agama lain. Yang penting, mereka dapat meluahkan perasaan.

Rakyat tidak harus terperangkap atau terpedaya dengan tipu muslihat dan agenda pihak terbabit. Pihak berkenaan tidak mempedulikan kesan buruk yang ditimbulkan ekoran kenyataan sensitif yang dibuat. Bagi mereka, yang penting ialah agenda dan motif sempit mereka dipenuhi.

Siapakah yang bersalah? Adakah rakyat terbawa-bawa oleh janji kebebasan bersuara oleh Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum lalu?

Bukankah PH berjanji untuk menghapuskan pelbagai akta dan undang-undang termasuk Akta Hasutan 1948 kerana kononnya mengekang kebebasan?

Sedangkan akta inilah yang dapat dapat digunakan untuk mengekang ketegangan dalam masyarakat walaupun tidak dinafikan kerajaan Barisan Nasional pernah menyalahgunakannya.

Jangan sampai sudah terhantuk barulah hendak tengadah.

Seyogia diingat, tidak ada kebebasan mutlak dalam mana-mana negara walaupun di negara yang mendakwa mengamalkan prinsip liberalisme. Jangan kerana hendak perjuangkan kebebasan segelintir pihak, kita mengabaikan kepentingan rakyat terbanyak.

Untuk negara berbilang etnik, agama dan budaya seperti Malaysia, percayalah, amalan terbaik ialah kebebasan bertanggungjawab. Maksudnya, segala komen, tulisan, kritikan dan ulasan perlu dibuat dalam lingkungan undang-undang dan demografi masyarakat berbilang etnik.

Langkah terbaik adalah dengan tidak sengaja menulis sesuatu yang jelas akan menimbulkan ketegangan hubungan etnik dan agama atau menyebarkan sesuatu berita dan video yang tidak sahih.

Elakkan daripada memutar belit dan memanipulasikan fakta dan data. Juga, jangan sama sekali menghina etnik, budaya dan agama lain.

Ada pihak yang cuba membesar-besarkan isu yang kecil, memetik dan mentafsirkan sesuatu perkataan di luar konteks sehingga dapat membangkitkan kemarahan.

Ada yang menggambarkan seolah-olah kaum mereka ditindas, didiskriminasi, ditekan oleh kerajaan terdahulu dan sekarang. Seolah-olah kaum mereka tidak mendapat apa-apa dan dilayan sebagai rakyat kelas dua. Walhal semua kenyataan itu dibuat dengan motif politik supaya rakyat marah kepada kerajaan.

Elakkan daripada menjadikan media sosial sebagai pasar bebas maklumat yang tanpa batasan dan kekangan atau ulasan dan kritikan yang melampaui batasan agama dan kaum.

Renungkan dengan mendalam dengan jiwa tenang dan fikiran jernih sebelum menulis. Tulislah dengan akal sihat, dan elakkan daripada mengeluarkan kenyataan tanpa menggunakan akal fikiran bagai orang mabuk todi.

Semua pihak termasuk pemimpin politik tidak harus membuat kenyataan tanpa berfikir panjang. Membuat kenyataan untuk meraih populariti tanpa mengendahkan kesannya kepada rakyat dan negara adalah tidak bertanggungjawab. Siapa yang akan rugi dan menderita jika masyarakat dan negara porak-peranda?

Kenyataan tanpa asas, tidak sahih atau palsu akan menyebabkan rakyat keliru, risau, bimbang dan berkonflik.
Perpaduan dan kemajuan yang dicapai oleh negara sehingga ini bukannya datang bergolek. Ia dicapai berkat perjuangan, komitmen dan pengorbanan pemimpin dan generasi sebelumnya.

Justeru, wajarlah rakyat menghargai keamanan dan kesejahteraan yang telah dinikmati selama ini dengan mengamalkan sikap saling memahami, bertolak ansur dan melayani satu sama lain dengan rasa kasih sayang.

Negara meraikan Hari Kebangsaan semalam, dan pada 16 September, kita akan meraikan Hari Malaysia. Jadi, jauhi sikap melampau dan tidak bertanggungjawab yang demi masa depan negara. Tiada tempat bagi penghasut, perosak, pemusnah dan pelampau di negara ini.

Memang mudah untuk merungkaikan kesepaduan sosial dan merobohkan perpaduan kaum serta integrasi nasional. Ingat, pelbagai dasar dan langkah telah diambil oleh kerajaan untuk membina Malaysia yang stabil sosiopolitiknya sehingga menjadi negara yang maju dan makmur.

Jangan kerana komen dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab, maka semua itu rosak binasa. Tidak ada gunanya menyesal apabila nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Media termasuk pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab dan tidak menghasilkan laporan yang dapat memburukkan lagi keadaan perkauman di negara ini perlu diterima baik oleh pihak media. Media perlu membuat laporan yang objektif, berimbang dan dapat menjernihkan suasana, bukannya memburukkan keadaan.

Amaran sudah lebih daripada cukup. Ini masa untuk bertindak. Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti kaum, agama dan budaya di negara ini.

Ini termasuk pemimpin politik dan pengguna media sosial yang menyalahgunakan kebebasan untuk kepentingan peribadi dan kumpulan.

Jangan teragak-agak untuk menangkap dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang tidak sedar diri dan tidak bertanggungjawab ini. Jika tidak, kita sebenarnya membuka peluang kepada golongan perosak ini untuk membinasakan dan menghancurkan negara.