Sabtu lepas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada empat komponen parti iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP terus berkelana bagi mempromosi gabungan tersebut ke segenap pelosok negeri Sarawak. Jerayawara GPS Zon Enam yang melibatkan lima buah Dewan Undangan Negeri iaitu N.30 Balai Ringin, N.31 Bukit Bengunan, N.32 Simanggang, N.33 Engkelili dan N.34 Batang Ai telah diadakan di Pekan Lachau, Sri Aman. Jerayawara GPS itu telah di hadiri lebih kurang 5000 orang yang datang dari kesemua lima buah DUN tersebut.

Komitmen GPS ini adalah untuk mempromosikan gabungan tersebut yang bakal berentap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke – 12 nanti. GPS lahir kemuncak daripada keputusan PRU 14 lepas yang menyaksikan kekalahan rejim UMNO-BN buat pertama kali dalam sejarah politik negara. Kemenangan bersejarah PH yang dikatakan kemenangan rakyat telah menyebabkan beberapa parti komponen BN terutama daripada Sarawak telah mengambil inisiatif keluar daripada gabungan tersebut.

Bertitik tolak daripada peristiwa pahit bagi rejim UMNO-BN ini telah menyebabkan empat parti komponen dalam BN dahulu daripada Sarawak iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP telah keluar dan membentuk gabungan tempatan iaitu GPS bagi memerintah negeri Sarawak. GPS yang secara total telah melahirkan identiti baharu dalam politik Sarawak walaupun para pemimpin yang memimpin masih sama. Identiti baharu ini adalah termasuk, logo, perlembagaan, penambahbaikkan teras perjuangan, lagu dan sebagainya.

Bagi tujuan promosi atau memperkenalkan identiti parti telah menyebabkan GPS bergerak ke setiap kawasan DUN di Sarawak yang mereka bahagikan kepada zon. Memperkenalkan logo baharu parti adalah penting kerana logo parti akan tertera di kertas undi yang digunakan pada setiap kali pilihan raya. Para penyokong atau pengundi harus dibiasakan dengan logo parti. Maklumlah selama ini logo dacing BN sahaja yang sentiasa di benak fikiran tiap kali pilihan raya.

Kini, persoalannya, ada apa dengan GPS di Zon Enam ini? Sejauhmanakah kelima-lima kerusi DUN di Zon Enam ini masih memihak kepada GPS? Apakah polemik politik yang melanda DUN di bawah Zon Enam ini? Sama-sama kita teliti dan renungkan.

Apa yang menarik adalah kelima-lima DUN di Zon Enam ini adalah di bawah dua parlimen iaitu P.202 Sri Aman dan P.203 Lubok Antu. Bagi P.202 Sri Aman, Datuk Masir Kujat merupakan ahli parlimen yang mendapat mandat semasa PRU 14 yang sebelum ini seperahu dengan PRS parti komponen dalam GPS telah keluar dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB). Bagi P.203 Lubok Antu pula, YB Tuan Jugah Muyang yang menang semasa PRU 14 lepas sebagai calon bebas namun kini telah menyertai PKR merupakan ahli parlimen di Lubok Antu. Tidakkah menarik politik di Zon Enam ini? Ia menarik kerana kedua-dua ahli parlimen bukan daripada GPS.

Apa yang dapat diperhatikan semasa berada di akar umbi, kelima-lima kerusi yang kini majoriti disandang oleh GPS kecuali N.33 Engkelili yang di sandang PSB tidak menjamin kemenangan kepada GPS pada PRN 12 nanti. Ini adalah realiti yang diperkatakan di akar umbi. Situasi politik yang sudah berubah pasti memberi implikasi kepada pendekatan parti-parti politik yang bakal menempuh PRN 12 nanti. Di Zon Enam ini, peluang dan ruang masih terbuka kepada semua parti-parti politik yang ingin bertanding semasa PRN 12 nanti. Tidak ada parti politik yang boleh mendabik dada untuk rasa selesa menempuh PRN 12 nanti.

Malahan, polemik politik yang berlegar sekarang memerlukan parti-parti politik menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membela nasib rakyat. Di Zon Enam ini, kelima-lima kerusi DUN yang terletak di luar bandar sudah pasti memerlukan perhatian serius bagi memastikan bukan hanya pembangunan infrastruktur diperlukan rakyat malah pembangunan ekonomi juga harus dititikberatkan.

Realitinya, strategi atau pendekatan yang padu harus difikirkan oleh aktor-aktor politik bagi memastikan dapat menarik sokongan dan dukungan rakyat yang diterjemahkan dalam peti undi semasa PRN 12 nanti. Janji-janji manis dalam manifesto sudah pasti tidak laku lagi kerana rakyat kini kian matang dalam politik. Komitmen yang disertakan dengan tindakan sudah pasti dapat meyakinkan rakyat. Aktor-aktor politik bakal mempertahankan kerusi serta bertanding di Zon Enam ini perlu bekerja keras untuk memenangi hati rakyat.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.