Tuesday, June 28, 2022

Teknologi terkini dalam perkhidmatan untuk rakyat

Secara Rawak

KUCHING: Setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri ini perlu sentiasa melakukan transformasi dengan mengaplikasikan teknologi terkini dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan pantas kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan dalam penyampaian perkhidmatan harus seiring dengan peredaran masa dan keperluan semasa.

Menurut beliau, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) merupakan antara jabatan yang berjaya mempergiatkan inovasi penciptaan atau inovasi penambaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan memperkenalkan aplikasi telefon pintar untuk perkhidmatan ‘Land and Survey Information System’ (LASIS).

“Saya amat berpegang teguh kepada teknologi kerana tekonologi adalah suatu yang telus dan memiliki fakta yang hakiki.

“Tahniah dan syabas kepada JTS yang berjaya melakukan inovasi dengan menggunakan teknologi terkini dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Hari Inovasi Dan Integriti Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak (HIITS) 2019 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Jaul Samion dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei, SR Zaidi Mahdi.

Sementara itu, Ketua Menteri memuji usaha JTS kerana turut memperkenalkan inisiatif ‘Go Current Exercise’ yang berjaya menyelesaikan kes-kes tertunggak melibatkan pengurusan tanah.

Katanya, beliau secara peribadi berbangga dengan pencapaian yang diperoleh JTS kerana berjaya memenangi banyak anugerah sama ada di peringkat negeri dan antarabangsa.

Antaranya, Anugerah Emas pada Public Service Innovation Awards 2019 (PSIA 2019) dan Receiver of International Federation of Inventors Associations Best Invention Medal 2019 kepada SARAPEG iaitu produk inovasi tanda kawalan dan tanda sempadan.

“Saya juga tertarik dengan inovasi ‘3D City Modelling’ iaitu satu projek pembangunan menggunakan teknologi 3D untuk perancangan bandar dan ‘urban renewal’ yang dilakukan JTS,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri mahu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengikut pendekatan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh JTS. -Edisi UKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru