Saturday, August 20, 2022

Guan Eng, tolonglah segerakan baik pulih sekolah daif di Sarawak

Secara Rawak

Apa hendak ditunggu lagi. Isu sekolah daif ini sudah menjadi isu dinosaur.

Orang Sarawak sudah muak dengan isu ini.

Justeru, gesaan Kerajaan Sarawak  terhadap Kerajaan Persekutuan supaya segera membaiki dan membina semula sekolah daif di negeri ini  memang wajar.

Ini kerana  Sarawak telah membayar dan menyalurkan  RM350 juta kepada Kerajaan Persekutuan yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Saya sudah bayar RM350 juta seperti yang dikehendaki kerajaan persekutuan tetapi sampai sekarang sekolah daif di Sarawak masih belum dilaksanakan.

“Apabila ditanya kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, jawapannya perlu tubuh jawatankuasa dulu,” kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sesi townhall di Lundu, semalam.

Persetujuan telah dicapai sebelum ini antara beliau dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dengan Ketua Menteri setuju Sarawak membayar balik hutangnya sebanyak RM1 bilion menerusi kaedah kontra bagi tujuan sekolah daif.

“Pendidikan adalah asas bagi sesebuah negeri atau negara dan kita ada lebih 1,000 sekolah daif di Sarawak yang perlu perhatian segera,” katanya.

Jadi, hendak tunggu apa lagi? Guan Eng tidak harus mencari seribu satu helah kerana lagi lama sekolah itu dalam keadaan daif, lagi lama murid-murid luar bandar menanggung derita.

Mereka perlu disediakan kemudahan yang sama seperti dinikmati murid dan pelajar di luar bandar.

 

Pada 22 Julai lalu, Guan Eng dipetik berkata,  proses perolehan dan perbelanjaan fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak sebanyak RM350 juta akan disegerakan sebaik sahaja kerajaan negeri membayar hutang mereka.

Sekarang, Kerajaan Sarawak sudah membayar. Jadi, apa lagi hendak ditunggu? Hendak tubuhkan satu lagi jawatankuasa?

Menurut Menteri Kewangan  berkata selepas pembayaran beberapa perkara harus dimuktamadkan,  antaranya jadual pelaksanaan, senarai sekolah dan proses tender bagi projek tersebut, jelasnya.

Menurut Guan Eng, setakat 30 Jun lalu, kerajaan negeri Sarawak masih mempunyai hutang sebanyak RM2.352 bilion dengan kerajaan persekutuan.

Guang Eng tidak seharusnya membangkitkan soal hutang berkenaan kerana semua negeri di Malaysia punya hutang terhadap Kerajaan Persekutuan termasuk Pulau Pinang yang pernah dipimpin beliau.

Lagipun, Sarawak membayar hutang berkenaan ikut jadual. Jadi, apa yang hendak dibingungkan oleh beliau? Atau Guan Eng sengaja hendak mencari helah?

Kata beliau, sekiranya Sarawak telah membuat pembayaran sebanyak RM1 bilion, baki hutang negeri itu masih lagi berjumlah RM1.352 bilion.

“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara dasarnya untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang Kerajaan Negeri Sarawak sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif, tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan, iaitu:

“Pertama, Kerajaan Negeri Sarawak hendaklah membayar balik sehingga

RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke

dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

‘Kedua, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang

dibayar balik oleh Kerajaan Negeri sebagai peruntukan untuk digunakan

bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak” katanya.

Ketiga, kerajaan persekutuan juga mensyaratkan supaya kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan.

Keempat, Kerajaan persekutuan juga bersedia mengambil kira keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

“Keempat-empat kriteria ini telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam surat Ketua Menteri Sarawak kepada saya yang diterima pada 15 Julai 2019,” kata beliau sebelum ini.

Rakyat Sarawak hendak beritahu Guan Eng, anak-anak murid di luar bandar, terutama yang miskin juga berhak untuk belajar di sekolah yang punya kemudahan moden, bukannya di sekolah daif.

Jadi, tolonglah laksanakan projek yang boleh menentukan nasib dan masa depan mereka ini dengan segera, tanpa perlu lagi berlengah-lengah atau mencari jutaan alasan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru