Friday, December 3, 2021

Kaedah baharu padam kebakaran tanah gambut

Secara Rawak

MIRI: Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak (NREB) akan mencari kaedah baharu bagi memadam kebakaran di kawasan tanah gambut yang kini sedang dihadapi di beberapa bahagian di negeri ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Yang Berhormat Datu Len Talif Salleh berkata kaedah ini akan dilaksanakan dengan seberapa segera dalam usaha memastikan kebakaran dapat dipadamkan.

“Terdapat air di kawasan dalam tanah gambut ini kira-kira 60 sentimeter dari permukaan tanah.

“Untuk itu, kita mencari kaedah baharu bagi membolehkan air di bawah tanah di situ dapat dibanjirkan di kawasan yang terbakar.

“Saya telah berbincang dengan NREB di mana air yang terdapat di tempat api itu merebak boleh digunakan untuk memadam api tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutupan Persidangan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) Ke 2 Peringkat Negeri Sarawak 2019 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 NREB di Eastwood Valley Golf & Country Club, semalam.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memulakan pembakaran ini, Datu Len Talif memberitahu perkara ini tertakluk kepada undang-undang.

“Buat masa ini kita berusaha untuk memadamkan kebakaran yang berlaku supaya ianya tidak merebak.

“Selepas itu, baharulah kita akan melihat tindakan undang-undang yang akan diambil ke atas pemilik tanah sekiranya mereka didapati memulakan kebakaran itu dengan sengaja,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengeluaran permit bagi pembakaran telah lama dibekukan.

Bercakap mengenai persidangan ini, sebanyak 79 ahli-ahli Kelab PALS telah menyertai Persidangan Kelab Pencinta Alam Sekitar bersama dengan 23 orang guru Penasihat Kelab PALS di seluruh Sarawak.

Ini merupakan kali kedua ianya diadakan di Miri dengan penganjuran kali pertama telah diadakan pada tahun lepas di Mukah dan akan diteruskan di bahagian lain pada tahun-tahun akan datang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru