Monday, August 15, 2022

Kabinet Baharu: Mampukah SUPP mengekang PH?  

Secara Rawak

Apabila merombak  dan menyusun kabinet baharu bukanlah tugas yang mudah. Sungguhpun rombakan kabinet ini kecil akan tetapi akan memberikan impak  kepada masa depan kerajaan yang diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Survival politik GPS adalah untuk memastikan bukan sahaja kabinet yang disusun semula itu mampu memberikan  impak besar kepada pentadbiran negeri Sarawak, akan tetapi memberikan keyakinan rakyat bahawa kerajaan benar-benar serius untuk memberikan pembangunan dan seterusnya memberikan impak kepada kesejahteraan rakyat di seluruh negeri Sarawak.

Pada masa yang sama, percaturan untuk pelantikan atau mengetengahkan muka baharu dalam kabinet merupakan satu cabaran besar. Pelantikan Menteri Muda akan menjadi  kontroversi apabila yang dilantik itu tidak lagi muda dari usia politik. Lebih-lebih lagi apabila terdapat kepercayaan politik dan pemahaman luar khususnya kalangan rakyat  berandaian bahawa menteri muda haruslah muda dari segi usia.

Ketua Menteri pula terpaksa mempertimbangkan banyak perkara sebelum melantik atau menaikkan wakil rakyat, kerana berdasarkan pemahaman umum semua wakil rakyat memberikan perkhidmatan untuk rakyat manakala  faktor wilayah asal, kumpulan ras, agama, umur, parti komponen dan prestasi sentiasa menjadi faktor pertimbangan.

Rombakan kecil

Namun rombakan kabinet kecil ini perlu dilakukan apabila peletakan jawatan Pengerusi Parti Sarawak bersatu (PSB) sebagai Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan pada 15 Julai lalu.

Hal ini berlaku apabila ketidaksenangan komponen GPS selepas Wong Soon Koh tetap dimasukkan dalam kabinet, meskipun sebagai calon langsung, bukan ahli parti komponen BN Sarawak ketika itu, sebelum BN Sarawak membentuk GPS.  SUPP dan PRS tidak berpuas hati apabila wakil rakyat UPP terus diberikan tempat dalam kabinet selepas kemenangan BN Sarawak ketika era Adenan Satem hingga kepada era Abang Johari seolah-olah mengundang api dalam sekam politik negeri Sarawak.

Kemenangan SUPP?

Apabila penggunduran Wong Soon Koh  diterima oleh Ketua Menteri Sarawak, maka  ruang wakil politik SUPP untuk bertapak dalam kabinet menjadi terbuka luas.  Setiausaha Agung SUPP yang juga Adun Piasau Datuk Sebastian Ting dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian.

Datuk Lim Kim Shin  yang merupakan Adun Senadin pula dinaikkan pangkat daripada Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian kepada Menteri Pengangkutan, iaitu penubuhan Kementerian baharu yang diwujudkan.

Penolakan terhadap UPP yang kemudian dikenali sebagai PSB ini  ternyata memberikan tempat terhadap wakil rakyat SUPP dalam kabinet negeri Sarawak.  Ketidakpuasan SUPP terhadap pelantikan Wong Soon Koh dan PSB yang dilihat akan mengancam SUPP dan PRS sekurang-kurangnya dapat diredakan dengan pelantikan dan kenaikan pangkat ini. Hal ini kerana UPP ialah parti serpihan SUPP, sebelum UPP kemudian menjenamakan pula sebagai PSB.

Akar Umbi SUPP

Sejauh manakah pelantikan wakil rakyat SUPP ini mampu menjadinya  semakin kuat, kompetitif dan mampu menjadi benteng ampuh untuk berdepan pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan seawal-awalnya tahun depan atau diadakan pada tahun 2021?

Sejauh manakah Sebastian Ting dan  Lim Kim Shin dapat bertahan daripada rempuhan DAP dan PKR pada pilihan negeri akan datang.  Begitu juga kawasan SUPP lain termasuk seperti di Batu Lintang dan Batu Kawah yang diwakili oleh Sim Kui Hian dan Lor Khere Chiang.

Begitu juga kerusi SUPP di Repok dan Maradong yang diwakili oleh Huang Tiong Sii dan Ding Kuong Hiing.  Kawasan dimenangi oleh SUPP ini banyak dibantu oleh pengundi bumiputera yang merupakan penyokong tegar BN atau kini GPS.

DAP dan PKR

Pada pilihan raya akan datang, pola pengundi Cina di Sarawak dijangka akan terus dinamik dan berubah berdasarkan situasi politik  DAP dan PKR di Semenanjung Malaysia. Ketika ini parti DAP dilihat dominan di Semenanjung Malaysia apabila mempunyai 42 buah kerusi parlimen. Situasi ini pasti mempengaruhi kekuatan DAP  di Sarawak lebih-lebih apabila ahli parlimen DAP Sarawak turut dilantik sebagai dalam kabinet di Putrajaya.

DAP kini giat menguatkan kedudukan parti bukan sahaja di bandar akan tetapi memperluaskan pengaruh parti berteraskan etnik Cina ini ke kawasan bumiputera khususnya di kawasan Bidayuh.

Foto: Suara TV

Kedudukan PKR dan DAP berubah apabila berjaya menyingkirkan Barisan Nasional di Putrajaya. PKR Sarawak juga mendapat jawatan kabinet apabila Baru Bian dilantik menjadi Menteri Kerja Raya. PKR mempunyai 50 kerusi parlimen di Dewan Rakyat.

Sudah pasti, pelantikan ini meningkatkan keazaman PKR dan DAP untuk meningkatkan  kerusi dewan undangan negeri di Sarawak, melainkanlah jika PH berterusan berada dalam keadaan kurang menentu sebagaimana yang berlaku hari ini.

Apa pun, SUPP perlu bekerja lebih kuat lagi sekiranya tidak mahu kerusi mereka terbang pada pilihan raya negeri akan datang. Maka, anggaplah rombakan kabinet kecil ini sebagai perangsang untuk  menggandakan undi Cina untuk terus menyokong dan mendukung SUPP sebagai parti pilihan utama masyarakat Cina di Sarawak.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru