KUCHING: Tiga puluh peratus.

Itulah sasaran Sarawak untuk wanita memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan menjelang 2025.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau optimis sasaran itu dapat dicapai kerana setakat ini 25 peratus wanita terbabit dalam membuat keputusan dalam pelbagai sektor di negeri ini.

Katanya, tiada  lagi isu ketidaksamarataan jantina terutama dalam era digital atau teknologi terkini.

“Kerajaan akan berusaha mencari penyelesaian agar 30 peratus yang disasarkan dapat direalisasikan dan saya percaya kita mampu mencapai sasaran itu menjelang tahun 2025.” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan sesi dialog ‘Voices to Be Heard’ sempena Program Latihan Kepimpinan Wanita (WLTP) yang turut dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Sri Fatimah Abdullah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

“Ini kerana lebih ramai wanita berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai bidang termasuk termasuk dalam sektor kerajaan atau badan berkanun,” ujarnya.

Abang Johari menjelaskan Sarawak telah menetapkan sasaran 30 peratus sejak di bawah kepemimpinan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud  menjadi Ketua Menteri, kemudian diteruskan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan kini beliau.

“Ini adalah dasar kita sejak kepemimpinan Ketua Menteri terdahulu,” katanya.

Yang penting, katanya, Kerajaan Sarawak kini sedang memperkasakan pembabitan wanita dalam politik seperti dibuktikan daripada pelantikan kaunselor untuk majlis tempatan baru-baru ini.