Barisan Kabinet Sarawak dalam rombakan kecil yang diumumkan YAB Ketua Menteri Sarawak semalam, adalah barisan yang mantap, mengekal majoriti muka lama dan menggabungkan pemimpin berpengalaman dengan latar belakang yang pelbagai bagi mewakili pelbagai kaum di Sarawak.

Pengisian jawatan Menteri Kewangan Kedua oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, amat kena pada tempatnya, berdasarkan pengalaman beliau di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Pengwujudan portfolio baharu Kementerian Pengangkutan dibawah Datuk Lee Kim Shin (sebelum ini Menteri Muda Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak) dan menamakan semula beberapa kementerian lain serta penambahan portfolio beberapa Menteri Kanan, akan memperkasakan lagi pentadbiran kerajaan negeri Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Seperti ditekankan YAB Ketua Menteri sendiri rombakan kabinet Sarawak juga seiring usaha Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030 dengan berteraskan lima fokus utama iaitu eksport dan import, minyak dan gas, pertanian moden, pembaharuan bandar serta pengangkutan dan pelancongan.

Dengan penyusunan semula barisan Kabinet Sarawak, saya yakin mereka yang dilantik ini akan dapat memberikan khidmat terbaik untuk membawa Sarawak ke arah pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh dan seterusnya akan meletakkan Sarawak pada landasan pembangunan dalam tempoh yang lebih cepat.

Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof
Ketua Whip GPS
Naib Presiden Kanan PBB
Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya