SIBU: Pemimpin masyarakat di luar bandar perlu mengingatkan penduduk di kawasan masing-masing agar berwaspada dan mengambil langkah dalam mengekang penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila.

Pegawai Daerah Sibu, Suhaili Mohammed berkata, ketua masyarakat perlu menyampaikan maklumat mengenai bahaya wabak rabies yang boleh membawa maut.

Menurutnya, masyarakat umum di Sibu khususnya harus tidak mengambil mudah tentang bahaya jangkitan penyakit itu sebaliknya bersedia dan bersama mencegah penularan wabak rabies.

Beliau berkata demikian semasa Program Kempen Kesedaran Rabies di Rumah Panjang Luat, Kemuyang dan Rumah Panjang Agatha Sungai Sengan, di sini semalam.

Program Kempen Kesedaran Rabies sempena Ops Rabies itu telah bermula dari 19 Ogos lepas dan berakhir hari ini, 23 Ogos.

Suhaili menambah, semua pihak perlu memberi kerjasama jika ada operasi dijalankan kerana ia merupakan antara tindakan pencegahan wabak rabies.

Katanya, mana-mana pemilik anjing peliharaan juga perlu membawa haiwan berkenaan untuk menerima suntikan vaksin anti-rabies.

Tambah beliau, langkah pencegahan awal dengan membawa anjing peliharaan mendapatkan suntikan vaksin adalah perlu kerana wabak rabies sukar dikawal apabila ia merebak.

Sementara itu, seorang pemimpin masyarakat, Penghulu Kunsu dari Rumah Panjang Agatha menyifatkan program kesedaran rabies sangat penting terutamanya di kawasan luar bandar dan perlu diperluaskan ke kawasan rumah panjang lain.

Seorang lagi penduduk, Kamaruddin Mohammad dari Rumah Panjang Agatha, Sungai Sengan pula memberitahu, program kesedaran wabak rabies penting kerana ia memberi maklumat dan kesedaran kepada penduduk di luar bandar.