KUCHING: Mengapakah Datuk Dr  Jerip Susil masih disenaraikan sebagai Menteri Muda?

Itulah soalan yang bermain dalam kepala rakyat Sarawak selepas nama beliau turut diumumkan sebagai Menteri Muda Pengangkutan.

Menteri penuh ialah Adun Senadin Datuk Lee Kim Shin.

Soalan itu dijawab oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika ditanya media selepas merasmikan Forum Merapatkan Hubungan Perdagangan dan Pelaburan Thailand dan Sarawak di Hotel Pullman di sini, semalam.

Menurut Ketua Menteri, ini kerana Jerip masih sebahagian daripada ahli GPS.

Sebelum mengambil tindakan keluar parti Julai lalu, beliau ialah Naib Pengerusi Parti Sarawak Bersatu (PSB). Parti serpihan UPP itu tidak lagi dianggap mesra GPS, lalu menyebabkan pengerusinya Datuk Seri Wong Soon Koh meletak jawatan.

“Beliau juga telah membuat permohonan untuk menyertai GPS dan permohonannya masih dipertimbangkan,” jelas Abang Johari lagi, tanpa mahu mendedahkan parti komponen yang bakal disertainya.

GPS terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP ditubuhkan pada 12 Jun 2018 selepas kekalahan BN dalam PRU-14 pada 9 Mei.

“Saya akan pertimbangkan pormohanan beliau dan akan beritahu mengenainya kelak,” katanya.