GUANGDONG: Seorang lelaki membatalkan hasratnya membunuh diri selepas menyanyikan lagu cinta bersama jirannya.

Dia dikatakan hendak membunuh diri dengan terjun dari bangunan tujuh tingkat di Foshan, wilayah Guangdong, China.

Lelaki itu secara kebetulan ditemui jirannya dalam keadaan bersiap sedia untuk terjun.

Jirannya kemudian memintanya menyanyi lagu cinta bersamanya sebelum dia terjun. Mereka berdua kemudian menyanyi lagu cinta yang ketika itu sedang diminati ramai bersama-sama iringan muzik karaoke.

Melalui video yang dirakam oleh jirannya, dia memuji suara lelaki itu dan berbual makna tersurat dalam lirik lagu tersebut.

Apabila lelaki itu menyanyi lirik yang menyebut tentang berjumpa kekasih, jirannya lantas bertanya siapa ingin dijumpanya.

Selesai menyanyi, lelaki itu kelihatan tenang dan masuk ke bangunan semula dengan bantuan orang ramai.

Ramai memuji jirannya kerana tindakannya yang kreatif dan pantas itu berjaya menyelamatkan nyawa seseorang.