AKHBAR Utusan Malaysia dan Kosmo akan menghentikan operasinya minggu ini dengan edaran terakhir terbit pada Rabu. Demikian berita yang tersebar awal minggu ini, malah berita angin sudah bertiup kencang di Kuala Lumpur tentang nasib yang bakal menimpa akhbar Melayu utama itu.

Dalam  New Straits Times pada Selasa tajuk utama ialah “Utusan No More?”. Laporan muka depan itu tentu menggemparkan walaupun terdapat tanda tanya.

Sebaik sahaja berita itu tersebar, saya cuba mencari akhbar berkenaan di ibu kota, tetapi gagal. Ketika di KLIA semalam juga saya cuba mencarinya, tetapi banyak kedai tidak lagi menjual akhbar. Ini tentu satu keadaan yang agak menghairankan dan mengejutkan.

Seorang wartawan di media berkenaan berkata, berita itu amat menyedihkan jika benar-benar berlaku walaupun mengakui Utusan akhbar pesaing tempat dia bertugas.

Berita itu bagi mereka dalam industri perksuratkhabaran dan dunia kewartawanan bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Jangan bunuh Utusan Malaysia!

Ini kerana, penutupan akhbar bukanlah sesuatu yang luar biasa sejak beberapa tahun kebelakangasn ini, malah sejak sedekad lalu.

Asakan daripada media sosial menyebabkan akhbar tidak dapat bernafas atau bernafas semput, hingga ada yang berada dalam keadaan tenat dan dimasukkan dalam ICU.

Keputusan menghentikan penerbitan syarikat akhbar berusia 80 tahun itu dibuat selepas Kumpulan Utusan dilaporkan menanggung kerugian purata sehingga RM3 juta sebulan sejak dua tahun lalu.

Lebih 100 pekerja Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu beberapa hari lalu bagi menuntut tunggakan gaji selama dua hingga tiga bulan.

Memang, dalam keadaan sekarang, sukar bagi akhbar untuk beroperasi, dengan edaran yang merosot dan pendapatan periklanan yang juga tidak berkembang, malah jatuh teruk.

Sedangkan, banyak kos yang perlu ditanggung, termasuk gaji kakitangan, kos operasi dan juga kos untuk kertas cetak.

Seperti akhbar lain di seluruh dunia, akhbar utusan juga terjejas edarannya sejak beberapa tahun kebelakangan. Menurut Media Planning Guide 2019, jumlah edaran sehari pada 2018 ialah 107,609 berbanding 115,830 naskhah pada tahun sebelumnya. Ini jauh merosot berbanding 191, 302 naskhah sehari pada 2013.

Berita buruk tentang Utusan itu tersebar hanya beberapa hari selepas rakyat Malaysia di pelbagai peringkat digesa untuk terus membeli dan membaca akhbar sebagai tanda sokongan serta manifestasi membalas jasa yang begitu besar yang dimainkan akhbar dalam pembangunan rakyat dan negara.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang membuat gesaan itu ketika berucap pada jamuan malam sempena sambutan ulang tahun ke-45 Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama di Kuala Lumpur pada malam 17 Ogos lalu.

Anak Sarawak yang menerajui agensi berita nasional itu menarik perhatian bahawa media kini merupakan bidang amat mencabar susulan ledakan atau transformasi dalam teknologi maklumat yang secara drastik telah mencorak semula landskap media keseluruhannya.

Menurutnya, antara yang paling terkesan ialah akhbar atau media cetak yang wujud sejak sekian lama, dengan minat dalam kalangan generasi muda untuk membaca akhbar kini dilihat semakin berkurangan.

“Harga akhbar kini hanya sekitar RM1, RM1.50. Apalah salahnya kita terus membeli akhbar harian atau mingguan. Ini akan menyuntik semangat baharu kepada pekerja akhbar termasuk untuk memperbaiki kandungan masing-masing,” katanya.

Namun,  rupa-rupanya ada cahaya di hujung terowong bagi utusan.  Banyak pihak dapat menarik nafas lega pada Selasa lalu apabila diberitakan bahawa syarikat akhbar berbahasa Melayu berusia 80 tahun, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar di bawahnya, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, langkah itu diteruskan sekalipun syarikat akhbar itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial.

Beliau mengakui Kumpulan Utusan sebelum ini banyak dibantu UMNO, namun selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) syarikat penerbitan akhbar itu kembali kepada realiti model perniagaan media.

“Tidak benar kita hendak tutup (henti operasi). Betul kita hadapi masalah. Tetapi kita ada pelan untuk meningkatkan perniagaan,” katanya.

Perkembangan itu sekali gus memadamkan spekulasi liar kononnya Kumpulan Utusan akan menghentikan operasinya bermula esok susulan ketidakmampuan menanggung kos operasi.

Kelihatannya, akhbar itu terpaksa berdepan dengan realiti. Untuk memastikan survivalnya, ia terpaksa menaikkan harga jualan runcit sebanyak 50 sen meskipun sedar itu bukan langkah popular. Tetapi apa pilihan utusan? Sebenarnya harga akhbar di negara ini masih rendah.

Syarikat terbabit mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2.00 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai Jumaat ini.

Akhbar tidak mahu mengambil risiko untuk menaikkan harga akhbar, kerana bagi sebahagian rakyat, akhbar bukan menu harian utama mereka. Maksudnya, tanpa akhbar pun mereka masih dapat hidup, lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial sekarang walaupun itu sebenarnya diragui. Berapa banyak berita dapat dibaca melalui media sosial?

Apatah lagi, tidak seperti rokok, sebaik sahaja harga akhbar naik, jumlah pembeli akan merosot. Bukan itu sahaja, kebaikannya tidak boleh dibuat sembarangan. Kerana ia juga menyulitkan pembeli dan penjual akhbar.

Bayangkan jika akhbar dijual pada harga RM1.50 apatah lagi RM1.30 sen? Duit syiling menjadi masalah kepada kedua-dua pihak, dan akhirnya ini akan menyebabkan jualan akhbar merosot. Itulah sebabnya akhbar di sarawak tidak pernah dinaikkan harganya sejak 1995. Harga semua akhbar Melayu dan Inggeris kekal RM1.00 sedangkan semua harga barang lain sudah naik. Dan, kos operasi termasuk gaji wartawan telah pun naik.

Utusan perlu terus bertahan dalam keadaan dan landskap media yang sukar ketika ini dan pada masa depan. Kerana ia bukan sahaja bersejarah, tetapi penting untuk mempertahankan kewartawanan Melayu di negara ini apatah lagi, akhbar itu mulai menemui pembaca pada 29 Mei 1939.

Penutupannya boleh dianggap sebagai satu tragedi  dalam dunia kewartawanan meskipun ada yang bersikap sinis dan emosional terhadap akhbar itu yang dilihat terlalu menyokong Barisan Nasional pada zaman gemilangnya.