Tuesday, January 25, 2022

Perpaduan kaum penting di Malaysia

Secara Rawak

Minggu lepas, saya telah berkelana ke bahagian tengah bumi kenyalang dalam tujuan lawatan latihan industri bagi melihat perkembangan latihan para pelajar serta mendapatkan pandangan pelajar serta organisasi penempatan pelajar. Lawatan yang berjaya mencapai obejektif amat membantu dalam memastikan para pelajar yang belajar di universiti dapat menimba pengalaman serta diberi pendedahan kepada situasi sebenar pekerjaan setelah mereka bergraduat pada masa hadapan.

Sepanjang lawatan tersebut, saya bukan sahaja melaksanakan tugas yang diamanahkan malahan sempat juga mendapatkan pandangan rakyat di akar umbi berkenaan dengan isu-isu semasa yang melanda negara kini. Bak kata pepatah, ‘menyelam sambil minum air’. Isu berkaitan seni khat tulisan jawi yang diperkenalkan dalam pelajaran Bahasa Melayu dan isu penceramah bebas telah mewarnai negara dalam beberapa minggu ini. Secara tidak langsung, isu ini telah menenggelamkan isu video seks hanyir dan isu kos sara hidup rakyat yang sebelum ini hebat didebatkan.

Itulah negara Malaysia, kita sering didendangkan dengan isu-isu sehingga kita lupa isu utama seperti isu ekonomi, janji dalam manifesto kerajaan PH, isu sekolah daif di Sarawak dan sebagainya. Persoalannya, adakah rakyat sedar dengan apa yang berlaku ini? Sejauhmanakah minda kita ‘dipermainkan’? Sama-sama kita merenung persoalan ini.

Mutakhir ini, isu seni khat tulisan jawi telah hangat diperdebatkan sehingga Persatuan Dong Zong dikatakan rasis oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Malahan, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin membuat seruan agar Dong Zong diharamkan. Isu seperti ini merupakan isu perkauman yang sentiasa menghantui politik di negara kita. Isu ini telah dipolitikkan demi meraih sokongan dan dukungan daripada rakyat. Kenapa dalam era Malaysia Baharu perkara begini masih berlaku? Realitinya, Malaysia tidak pernah keluar daripada kepompong politik perkauman sempit yang menjadi modal politik kepada parti-parti tertentu di negara kita.

Perpaduan kaum dalam sesebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum serta latar belakang seperti Malaysia amat penting bagi memastikan kestabilan politik yang menjurus kepada kemakmuran ekonomi yang secara langsung memberi impak kepada kehidupan rakyat. Isu seni khat tulisan jawi ini tidak sepatutnya dijadikan isu yang boleh menganggu gugat keharmonian serta perpaduan antara kaum di Malaysia. Rakyat Malaysia seharusnya tidak terbawa-bawa dengan sentimen perkauman yang dimainkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dalam isu seni khat ini.

Di Sarawak, para pemimpin peringkat negeri atau pemimpin dari Sarawak belum ada yang mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan pelaksanaan seni khat tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4. Adakah pendirian berdiam diri berkenaan dengan isu khat ini satu strategi politik pemimpin tempatan di Sarawak? Setakat ini, belum kedengaran kenyataan daripada pemimpin di Sarawak terutama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dato Sri Michael Manyin berkaitan isu khat ini.

Bagi Sarawak yang terserlah dengan masyarakat yang pelbagai kaum atau suku etnik yang selama ini hidup bersatu padu dan harmoni, isu seni khat ini atau isu perkauman tidak laku di negeri bumi kenyalang ini. Rakyat Sarawak yang berbilang suku etnik sentiasa meraikan perbezaan serta menjulang persamaan di antara satu sama lain. Kelebihan ini telah menyerlahkan kestabilan politik di bumi kenyalang yang membantu memacu teguh ekonomi negeri yang dapat dinikmati oleh rakyat Sarawak.

Isu seni khat ini tidak harus dijadikan modal politik bagi meraih sokongan bagi pihak tertentu. Menurut seorang peniaga buah-buahan di kawasan Meradong, Sarikei, isu khat ini tidak payah diperbesarkan kerana, mengikut kawan beliau 30 lebih tahun lepas, mereka memang ada belajar berkenaan tulisan jawi ini. Kawannya yang kini berumur 51 tahun masih pandai menulis menggunakan tulisan jawi dengan mengeja nama beliau sendiri. Apa yang menarik ialah beliau merupakan kaum Cina. Kenapa tidak membantah perkara ini dari dulu lagi, ujar beliau. Kenapa baru sekarang? Jangan main politik la, tambah beliau lagi.

Perpaduan dan keharmonian kaum adalah amat penting bagi memastikan kestabilan politik dalam sesebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang seperti Malaysia. Isu khat tidak harus diperdebatkan lagi. Seni tulisan bahasa lain seperti dalam Bahasa Iban iaitu Tulisan Dunging juga boleh diketengahkan dalam mata pelajaran Bahasa Iban yang boleh dipelajari oleh semua kaum. Itu adalah hakikat kita tinggal di negara yang penduduknya pelbagai kaum yang perlu kita raikan. Kaligrafi tulisan cina juga boleh diperkenalkan di peringkat sekolah rendah kebangsaan untuk dipelajari oleh semua pelajar.

Malahan, kini ramai ibu bapa daripada kaum lain seperti Melayu, India, Iban, Bidayuh dan sebagainya turut menghantar anak mereka belajar di sekolah aliran Cina. Kenapa nak berbalah berkenaan dengan khat? Apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan adalah memastikan nasib rakyat terbela dengan menunaikan segala janji yang terkandung dalam manifesto semasa PRU 14 lepas. Kini, rakyat makin matang dalam menilai prestasi kerajaan dan akan membuat keputusan sama ada terus menyokong atau tidak sesebuah kerajaan pada pilihan raya seterusnya.

Penulis merupakan pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru