Monday, June 27, 2022

Pembangunan telah dirancang bersama anak tempatan – Hajah Simoi

Secara Rawak

KUCHING: Pelan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga ini dijangka mampu mencorakkan pembangunan kawasan DUN Lingga dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Yang Berhormat Hajah Simoi Haji Peri berkata beliau percaya dengan kemampuan anak-anak tempatan dalam merancang dan merencana pembangunan demi masa depan rakyat di kawasan DUN Lingga ini.

“Kehadiran anak-anak tempatan dari kawasan DUN Lingga dan Simanggang pada hari ini membuktikan komitmen mereka untuk bersama saya dan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan DUN Lingga dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

“Mereka ini mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing sama ada pentadbiran, pendidikan, projek, sosial dan sebagainya yang bekerja di sektor awam dan swasta yang diharap ianya dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan pembangunan DUN Lingga sejajar dengan perkembangan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Penangguhan Bengkel Pelan Pembangunan Strategik DUN Lingga yang diadakan di sini, semalam.

Diadakan selama dua hari, bengkel ini diadakan menerusi perbincangan menggunakan kaedah ‘grounded approach’ iaitu pendekatan di peringkat akar umbi.

Ditanya mengenai penganjuran bengkel ini, beliau berkata cadangan mengadakan bengkel ini telah lama dirancang, tetapi baru dapat dilaksanakan selepas mendapat sokongan dan komitmen daripada para peserta.

“Saya mengambil pendekatan menggunakan kepakaran dan kemahiran serta pengetahuan anak-anak tempatan di kawasan DUN Lingga dan Simanggang atas rasa kebertanggungjawaban mereka kepada kampung halaman.

“Malah, saya tidak meragui kepakaran dan kemahiran yang ada pada mereka yang bersetuju untuk bersama dalam membangunkan kawasan DUN Lingga,” ujarnya.

Bengkel ini telah dikendalikan Profesor Madya Dr Abang Zainoren bin Abdurrahman dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bertindak selaku Ketua Fasilitator dan dibantu fasilitator-fasilitator seperti Lenny Yusmira binti Bujang Khedif dan Maklen bin Haji Ali juga dari UiTM.

Antara peserta yang turut menjayakan bengkel ini iaitu Ketua Sumber Manusia Sarawak Forestry Corporation Japanie bin Haji Bujang, Ketua Penolong Setiausaha MITEC Awang Putrayusrie bin Haji Awang Redzuan, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Geoffry bin Ramji, Perancang Bandar Kanan Jabatan Tanah dan Survei Kuching Haji Nazaruddin bin Haji Abdul Jabar, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Cawangan Sarawak Wan Shamsulri bin Wan Hasbi, Ketua Bahagian Pengurusan Bakat Unit Sumber Manusla Negeri Jabatan Ketua Menteri Mahra bin Salleh, bekas Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Haji Abang Shamsuddin bin Haji Abang Seruji, Pemangku Ketua Penolong Pengarah/ Bahagian Perikanan Darat Jabatan Pertanian Sarawak Awang Alim bin Awang Kassim, Pegawai SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman Haji Abdul Rahman bin Haji Muhiyuddin dan ADO Pejabat Daerah Sri Aman Hamdan bin Haji Katang.

Turut sama hadir Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB Cawangan Lingga Mohd Yusop bin Haji Lugom dan Setiausaha Parti PBB DUN Lingga Awang Azahari bin Haji Awang Ahmad.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru