Situasi politik terkini boleh mengelirukan sekiranya tanpa mengetahui situasi sebenar yang berlaku. Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pertama kali mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.
Pengumuman ini menyebabkan pelbagai reaksi diberikan kepada dalam media tempatan dan media sosial. Sejauh manakah Pakatan Harapan ingin memperjuangkan berkenaan tulisan Jawi dalam Subjek Bahasa Melayu? Sejauh manakah Barisan Nasional dahulu bersungguh-sungguh memperjuangkan isu tulisan jawi dalam Subjek Bahasa Melayu? Apakah relevan isu Jawi dalam politik?
Apakah perlu golongan kurang autoriti campur tangan dalam isu pendidikan negara? Kelompok manakah lebih arif dan berpengetahuan dalam merangka sistem pendidikan negara. Adakah pakar pendidikan negara atau persatuan ibubapa dan guru yang perlu menentukan pengajaran subjek? Agak pelik dan aneh. Namun inilah realiti yang berlaku di negara ini.
Polemik
Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim, dilapor berkata akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan sebagai membantah pembelajaran khat di sekolah vernacular dan menuduh sebagai satu bentuk ‘Islamisasi’ langkah tersebut. Walaupun kerajaan berkompromi dengan memendekkan pendidikan khat daripada enam kepada tiga halaman, selain memberi pilihan waktu pembelajarannya namun Dong Zong tetap meneruskan bantahannya.
Akibat itu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad melabelkan pertubuhan itu sebagai ‘rasis’ kerana tidak pernah bersetuju dengan apa-apa keputusan kerajaan sebelum ini termasuk pengenalan Sekolah Wawasan yang menempatkan sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan dalam satu kawasan sama. Sayap Pemuda Bersatu dan Gerakan Pengundi Sedar pula melancarkan petisyen untuk pengharaman Dong Zong.
Prejudis
Isu ini membuktikan terdapat unsur prejudis dan stereotaip masih berlaku dalam masyarakat di negara ini. Prejudis ialah prasangka atau andaian-andaian buruk yang belum tentu benar. Hal ini berlaku apabila kurangnya interaksi harian dan jurang berbeza daripada pemahaman terhadap individu dan kepercayaan yang dianuti. Stereotaip pula ialah andaian-andaian umum yang dipersepsikan secara berlebih-lebihan terhadap individu dan etnik tertentu sebenarnya tidak mewakili keseluruhan atau individu yang lain.
Situasi inilah yang berlaku dalam masyarakat hari ini apabila isu tulisan jawi dan khat timbul, sedangkan tulisan jawi pernah diperkenalkan dan Lim Kit Siang sendiri menyatakan beliau pernah belajar Jawi dan ini tidak mengurangkan rasa kecinaannya. Pengenalan isu kaligrafi atau tulisanJawi dirancang untuk perpaduan kaum melalui sistem pendidikan yang diyakini untuk memupuk persefahamaan, kesedaran bersama. Namun sebaliknya berlaku apabila isu ini dipolitikkan yang akhirnya menyebabkan terjebak kepada isu perkauman yang tidak perlu.
Isu Tentera
Isu ini melanda ketika negara ini di ambang menyambut Hari Kebangsaan, hari bersejarah negara. Apabila isu kaligrafi timbul, dihangatkan lagi isu ‘tentera makan tidur sahaja dan perlu bekerja di ladang Felda’ ia menjadi isu nasional, bukan lagi isu etnik atau agama. Hal ini kerana tentera ialah benteng pertahanan pertama negara. Sikap memperleceh-lecehkan sumbangan dan tugas anggota tentera merupakan sikap biadap dan perlu ditolak oleh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan etnik. Ketua Angkatan Tertinggi Tentera ialah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. Sebab itulah, tindakan memperlekeh tugas anggota tentera patut diambil tindakan serius oleh pihak kerajaan.
Jalur Hitam
Sebelum ini tokoh perniagaan bergelar Tan Sri menjadi kontroversi apabila bertindak menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam sebagai memberikan reaksi berhubung isu pengenalan tulisan khat. Sekeping foto menunjukkan jalur warna putih pada Jalur Gemilang ditukarkan kepada warna hitam dimuatkan dalam laman Facebooknya.
Tindakan ini kononnya untuk menyindir Kementerian Pendidikan yang mungkin akan menukarkan warna bendera itu sama seperti menukar warna kasut sekolah daripada putih kepada hitam. Tidak lama kemudian selepas reaksi netizen dan media, hantaran tersebut dipadamkan.
Tafsiran Ilmu Kemasyarakatan
Berdasarkan ilmu kemasyarakatan tiga situasi tersebut menunjukkan indeks keharmonian masyarakat berada dalam titik amaran merah. Langkah dan tindakan perlu dibuat untuk memastikan sikap warga negara dalam keadaan tenang, mengamalkan adab tinggi ketika memberikan komen dan menjaga tingkah laku dalam hidup bermasyarakat.
Dalam ilmu sosiologi juga menyatakan situasi ini bermakna berlakunya interaksi sosial yang kurang atau terbatas. Realiti ini dapat dilihat di tempat-tempat makan, di pusat-pusat membeli belah hingga di ruang perpustakaan. Kenyataan hubungan antara etnik dalam satu kelompok sukar dilihat bersama. Inilah membuat generasi terdahulu nostalgia terhadap kumpulan Alleycat, Kenny Remmy dan Martin yang memancarkan nilai-nilai Malaysia.
Masyarakat perlu bersifat fungsional, iaitu satu keadaan sistem yang saling berkaitan dan mempengaruhi di antara satu sama lain. Ia perlu untuk memenuhi kawalan sosial, pendidikan, politik dan ekonomi. Apabila satu kelompok masyarakat hanya mementingkan aspek ekonomi sahaja dan mengabaikan aspek sosial, maka kepincangan berlaku kerana setiap perlakuan hanya dinilai dengan ukuran wang ringgit semata-mata, kepentingan dan kelompok mereka sahaja. Lama-kelamaan kelompok tersebut membina tembok mereka sendiri dan ini menyebabkan fungsi sebagai satu kesatuan atau sistem tersebut semakin pudar.
Hal ini akan memberikan kesan panjang seperti hubungan antara etnik akan semakin longgar dan bahaya sekiranya tidak diperbetulkan dengan segera. Pembetulan ini dapat dilakukan dengan keazaman politik untuk menyatukan rakyat pelbagai etnik dengan agihan ekonomi dan sosial yang lebih adil. Setiap aspek masyarakat atau budaya memberi sumbangan masing-masing kepada kewujudan masyarakat dan budaya tersebut, lantaran itu membawa kepada kestabilan dan ketenteraman sosial.
Inilah antara pemikiran digagaskan oleh Radcliffe Brown, ahli kemasyarakatan terkemuka barat yang mengkaji lebih awal masalah yang berlaku dalam masyarakat untuk dinilai akan kerelevannya.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.