KUCHING: Pameran ‘Uptown Cat VI’ 2019 menjadi platform terbaik untuk mempamerkan pelbagai karya lukisan kucing Sarawak hasil seni 70 pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Pameran itu diadakan sempena Hari Bandaraya Kuching Ke-31 di Muzium Kucing, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini.

Pameran itu berlangsung selama tiga bulan mulai semalam hingga 17 November depan.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, pameran itu menampilkan puluhan jenis lukisan kucing Sarawak, kucing kesayangan dan kucing baka baik, dan bakal memberi manfaat kepada orang ramai.

“Pameran seperti ini akan membantu dalam mempromosikan Muzium Kucing sebagai pusat tarikan pelawat dari dalam dan luar negeri,” jelasnya.

Katanya, orang ramai juga akan dapat meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan mengenai kucing melalui lukisan.

“Program ini salah satu program antara 18 program dan aktiviti sempena sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-31,’ jelas beliau ketika berucap pada majlis perasmian dan penyampaian hadiah Pameran ‘Uptown Cat VI’, Muzium Kucing, DBKU di sini semalam.

Jelasnya, pameran itu dianjurkan setiap dua tahun yang mula diadakan pada 2009.
Katanya, pertandingan karya seni 2019 melibatkan 70 pelajar dari institusi pengajian tinggi.