Monday, June 27, 2022

ART hubungkan Kuching-Kota Samarahan dua tahun lagi

Secara Rawak

SINGAPURA: Kerajaan Sarawak merancang untuk melaksanakan ‘Autonomous Rapid Transit’ (ART) dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tun Openg mengesahkan perkara itu dalam sidang media di sini semalam.

“Kita mahu melaksanakan satu sistem pengangkutan awam yang lebih murah untuk dibina berbanding LRT, pada kos satu  per tiga saja,” katanya.

“Ia murah sebab tidak perlukan landasan, kerana kita dapat gunakan jalan sedia ada,” jelasnya.

Abang Johari yakin ia dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi.

ART dilaporkan dapat mengangkut jumlah maksimum 400 orang penumpang pada satu masa, sebagai pengangkutan awam baharu bandar raya Kuching.

Foto TVS

Ketua Menteri berkata, sistem ART itu mempunyai gerabak seperti kereta api tetapi bergerak menggunakan tayar di atas jalan raya dan bukannya atas rel.

“Memang menjadi hasrat Kerajaan Sarawak untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Sarawak,” jelasnya sambil menambah bahawa pengangkutan awam ialah nadi bandar raya.

“Pada asalnya kita hendak membina LRT untuk selesaikan masalah di Kuching, tetapi kini ada teknologi baharu kerana sistem ART ialah hibrid antara LRT dengan sistem bas laju,” katanya lagi.

“Kami sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan sistem ART untuk menghubungkan Kuching dengan Kota Samarahan,” katanya.

Sebelum ini Ketua Menteri berkata, ART ada peralatan yang membolehkannya membaca tanda laluannya di atas jalan raya.

“Ia ada gerabak dengan setiap gerabak boleh membawa seramai lebih kurang 85 penumpang,” katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-31 Bandaraya Kuching baru-baru ini.

Abang Johari berkata, kerajaan  hanya perlu melebarkan sahaja laluan jalan sistem ART di bandar raya ini dan laluan itu dikhususkan untuk digunakan gerabak ART sahaja bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru