KUCHING: PKR akan bermesyuarat dengan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum memutuskan pendiriannya tentang keberadaan pendakwah Dr Zakir Naik di Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan yang parti itu akan mengumumkan pendiriannya kelak.

“Kita akan beri komen bila sampai masa,” katanya yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna kepada pemberita di Kuala Lumpur seperti dilapor Suara Keadilan.

Sementara itu, Anwar baru sahaja tiba di tanah air tengahari ini selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji di Makkah.

“Alhamdulillah selamat tiba. Terima kasih atas doa semua,” tulis Anwar di laman Facebook beliau.

Dr Zakir Naik yang kini bertaraf pemastautin tetap Malaysia menjadi topik wacana hangat kerana kaedah dakwah perbandingan agamanya dalam sebuah masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Walaupun beliau kini dikehendaki pihak berkuasa India, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kelmarin mengulangi pendiriannya bahawa Dr Zakir tidak akan diusir dari Malaysia.

Dr Mahathir bagaimanapun mengalu-alukan mana-mana negara lain yang sanggup menerima penceramah itu.

Dr Zakir Naik kini berdepan dakwaan penggubahan wang haram di India – satu tuduhan yang dinafikannya dan disifatkan berniat jahat.