KUALA LUMPUR: Setelah meneliti kenyataan ‘penuh’ Dr Zakir Naik terhadap isu pengusiran ‘tetamu lama’, Ahli Parlimen Kuala Krai berpendapat kenyataan pendakwah Dr. Zakir Naik tidak sepenuhnya memberi erti bahawa beliau bermaksud seperti yang difahami oleh banyak pihak daripada hasil laporan media yang sengaja cuba mencetuskan isu.

“Tindakan kerajaan India juga sebenarnya penuh kekaburan dan tidak mempunyai bukti yang kukuh. Seakannya mereka sebenarnya hanya takut dengan kepetahan Dr Zakir Naik dalam berhujah tentang Islam,” kata Abdul latiff Abdul Rahman dalam satu kenyataan.

Seperti yang diketahui, jelasnya, di Malaysia DAP merupakan sebuah parti yang sangat ‘bermasalah’ dengan Islam.
“Mereka sering menyerang Islam dengan pelbagai hujah dangkal yang tidak masuk akal,” katanya.

“Dalam isu Dr Zakir Naik, DAP sangat berlebihan dan menjadi ‘barua’ kepada agenda antarabangsa untuk menekan Islam. Ternyata DAP tidak bersendirian dalam isu ini,” katanya lagi.

“Jangan dengan hanya memiliki kuasa yang secebis, DAP telah cuba menunjukkan taring. Bak kata pepatah sebagaimana juga yang di tegaskan oleh Tuan Guru Presiden “Diberi Betis Hendak Paha”,” ujarnya.

Abdul Latiff mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bertegas dalam isu Dr Zakir Naik.

“Kita pula selaku umat Islam wajib mempertahankan Dr Zakir Naik untuk kekal di Malaysia demi Islam walau dengan apa sahaja cara sekalipun.

Kita perlu tunjukkan kepada DAP dan bukan Muslim bahawa semua Muslim adalah bersaudara dan kita semua Muslim cintakan keharmonian,” katanya.