KUCHING:  AJK PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi menyarankan kepada pihak yang tidak sependapat dan bersetuju dengan Dr Zakir Naik agar bersemuka dan berhujah dengan pendakwah itu.

Namun, ujar beliau,  sayang kerana apabila dipelawa, ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan, apakah itu adil, berprinsip dan bermaruah

“Jangan hanya berani melontar batu dari jauh namun bacul bila diajak bersemuka. Bak kata pepatah umpama meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri, “katanya dalam satu kenyataan..

Ujarnya, sepatutnya jika tidak bersetuju dan sependapat dengan hujah Zakir, maka kemukalah hujah untuk menangkisnya beserta dengan bukti dan fakta, bukannya menutup segala ruang dan menuduh tidak bertempat.

“Dilaung-laungkan keadilan, integriti dan rule of law namun apabila tidak sependapat dan bersetuju maka undang-undang rimba dan perilaku kuno serta zaman batu ditonjolkan. Apakah ini Malaysia Baharu yang dibanggakan atau sebenarnya negara telah kembali mundur ke belakang?,” tegasnya.

Apa yang meyedihkan, menurut Muhammad Khalil, terdapat segelintir umat Islam yang cetek pengetahuan agama turut mempertikaikan apa yang beliau sampaikan malah ada yang sanggup menuduh beliau dengan tuduhan yang tidak masuk akal.

“Maka disebabkan itulah saya sarankan kepada yang cetek pengetahuan agama agar mempelajari kembali al-Quran dan hadis serta kitab-kitab karangan alim ulama tersohor serta memahami kembali maksud dakwah,” ujarnya.

“Mempelajari dan mendalami agama dengan betul tidak akan membuat kita kembali ke zaman kuno atau zaman batu. Hanya orang yang buta hatinya sahaja berkata demikian kerana Islam diturunkan sebagai panduan manusia hingga ke akhir zaman, itu janji Allah SWT,” katanya lagi.

Maka sebagai orang Islam,  ujarnya, sebelum menuduh seorang alim dengan tuduhan yang melampau dan tidak benar, ingatlah kerana neraka tidak mengenal wang ringgit, pangkat, keturunan mahupun kuasa kerana pendosa tempatnya adalah neraka.