KUCHING: Kini Sarawak terbang tinggi bersama-sama AirAsia.

Sebagai langkah menarik pelancong ke negeri ini, Kerajaan Sarawak mengambil langkah membawa ‘Kempen Melawat Sarawak’ untuk mengiklankan kempennya di dalam pesawat AirAsia.

Untuk itu, ruangan penyimpanan bagasi lima pesawat terbabit akan dipamerkan dengan 10 visual iklan berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lima pesawat akan terbang ke sektor domestik Kuala Lumpur, Miri, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Alor Setar, Pulau Pinang dan Kuching.

“Manakala untuk sektor antarabangsa, ia terbang ke Singapura, Vietnam, Indonesia, GuangZhou, Shenzhen, Chengdu, Bangkok, Phuket dan banyak lagi,” katanya pada pelancaran kempen berkenaan di Lapangan Terbang Kuching di sini, Selasa.

Jelas Abdul Karim, kempen terbabit akan berlangsung selama 12 bulan dengan menyasarkan 15 juta tontonan.

Sarawak menyasarkan untuk menarik lima juta pelancong pada tahun ini.

Setakat suku kedua tahun ini, beliau menjelaskan, jumlah pelancong yang berkunjung ke Sarawak 2,239,206 orang.