LIMBANG: Kerjasama, komitmen dan sokongan penuh pemimpin akar umbi dan penduduk kampung di sini telah menjadi penyumbang kepada kejayaan penganjuran pelbagai program, termasuk Program Makan Tahun Perdana.

Selain menyeru ketua masyarakat supaya bertindak adil dalam pelaksanaan projek kampung, Menteri Muda Pertanian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail juga meminta mereka supaya terlibat aktif dalam mendalami isu setempat kerana prestasi mereka dinilai dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, pemimpin akar umbi tersebut juga wajar kerap turun padang bagi menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing.

“Mereka harus bersedia bersama rakyat dan berkhidmat kepada masyarakat setempat khususnya di kawasan Bukit Kota,’ ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kesyukuran Makan Tahun Perdana 2019 anjuran Persatuan Kedayan Limbang di Kampung Bukit Luba Limbang, semalam.

Keunikan program tersebut ialah selain menonjolkan tradisi masyarakat Kedayan, ia juga diadakan secara bergilir antara 20 buah kampung Kedayan di daerah Limbang yang dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Jalan Tujuh Batu Keliling, Zon Jalan Kubong dan Zon Jalan Pandaruan.

Dr Abdul Rahman menambah, ketua-ketua masyarakat juga disaran mempunyai perancangan pembangunan di kawasan mereka.

Jelas beliau, mereka juga seharusnya tidak jemu untuk memohon projek pembangunan untuk kampung masing-masing sekiranya permohonan terdahulu tidak diluluskan.

“Tidak semestinya projek yang dipohon akan diluluskan atau dilaksanakan serta -merta kerana ia perlu dipertimbangkan terlebih dahulu atau dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.