MIRI: Umat Islam di negeri ini diseru  supaya memastikan mereka terus maju dalam bidang pendidikan  demi masa depan dan pembangunan negeri ini.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, mereka perlu melengkapkan diri dengan menimba ilmu dan pengetahuan terkini seiring dengan tuntutan semasa.

Ketua Menteri mahu umat Islam menyelami hakikat pengorbanan dan mengaitkannya dengan hala tuju pembangunan agar  mereka dapat berdiri sama

“Islam pernah mendahului umat lain di dunia dengan kemajuan sains dan matematik sehingga lahirnya ilmu algebra dan algoritma,” katanya sambil menambah kemajuan bidang berkenaan yang dihasilkan ilmuan Islam memberi kesan besar  kepada tamadun manusia.

Katanya, pengorbanan juga bermaksud keupayaan manusia untuk berfikir bagi memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Dengan adanya  ilmu yang cukup, pemikiran dapat digunakan untuk manfaat masyarakat,” tegasnya.

Itulah sebabnya, ujar beliau, Kerajaan Sarawak menggunakan pendekatan baharu bagi meletakkan negeri ini di hadapan, dengan menerapkan ekonomi digital.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ibadah Korban di Masjid Darul Ehsan, Piasau di sini, semalam.

“Ajaran Islam sendiri menekankan betapa pentingnya ilmu pendidikan agar ia dapat dimanfaatkan untuk membangun masyarakat di sekeliling,” katanya.

Jelasnya, 700 tahun lalu, umat Islam menjadi peneroka industri ilmu melalui kepakaran dan keterampilan mereka dalam bidang matematik dan algoritma, namun tidak lagi demikian.

Jelas Abang Johari, kini umat Islam sudah dipintas oleh orang lain dari segi inovasi dan ilmu.

“Dengan negeri sebesar Sarawak yang mempunyai penduduk lebih 2.7 juta orang, kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu dalam ekonomi,” jelasnya.