KUCHING: Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri setakat jam 3 petang semalam merekodkan sejumlah 374 kes kebakaran belukar di seluruh negeri dari 1 hingga 13 Ogos.

Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Nik Muhammad Afiq Nik Roslan, berkata pada musim panas yang melampau masa kini risiko berlakunya kebakaran adalah amat besar.

“Secara purata, JBPM Sarawak memberi respon kepada sekurang-kurangnya 30 kes kebakaran belukar setiap hari sejak 1 Ogos. Jumlah kes kebakaran belukar tertinggi ialah semalam iaitu sebanyak 65 kes, Sabtu (10 Ogos) 58 kes dan Ahad (11 Ogos) sebanyak 55 kes.

“Terdapat tujuh lokasi yang melibatkan operasi berterusan termasuk di kawasan Kompleks Kebajikan Hamidah, Kuala Baram yang memasuki hari ke-13 dan Kampung Sedi, Pulau Bruit yang memasuki hati ke-7.

“Manakala Taman Harmoni, Sri Aman serta Jalan Marudi- Miri operasi pemadaman memasuki hari ke-5 dan Kampung Sangki, Simunjan, Kampung Bungan, Mukah serta Kampung Tuie, Serabang, Betong memasuki hari ke-4, ” ujarnya.

Sehubungan dengan itu orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang musim panas kering ini bagi mengelak berlaku kebakaran yang menjejaskan alam sekitar.