Pembenihan awan diperlukan di 4 kawasan berjerebu

KUCHING, 17 Sept -- Pemandangan dari Tebingan Sungai Kuching yang mengalami jerebu teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 195 iaitu tidak sihat setakat pukul 5 petang tadi. -- fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengeluarkan Notis Pemberitahuan untuk melaksanakan pembenihan awan susulan jerebu  yang melanda empat kawasan di negeri ini.

Kawasan terbabit ialah  Miri, Kuala Baram, Sibu dan Sri Aman.

Notis itu ditujukan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut JPBN dalam satu kenyataan, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan setakat jam 3 petang  tadi menunjukkan satu kawasan merekodkan bacaan pada paras bahaya iaitu 342 di SK Kuala Baram 2.

Jelasnya, di Miri bacaan pada paras bahaya direkodkan dari stesen Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2, manakala stesen ILP Miri pula mencatatkan bacaan pada paras sangat tidak sihat.

“Satu kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat iaitu di Stesen ILP Miri dengan bacaan 297, dua stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu stesen Sibu dan Sri Aman manakala baki 9 stesen lagi menunjukkan bacaan pada tahap sederhana,” katanya dalam kenyataan itu.