Ke mana hala tuju parti pimpinan Wong Soon Koh?

KUCHING: Ramai yang tertanya-tanya ke mana hala tuju Parti Sarawak Bersatu (PSB) selepas ini?

Parti pimpinan Datuk Sri Wong Soon Koh itu bagai hilang haluan selepas tidak lagi dianggap mesra GPS beberapa minggu lalu.

Masalah itu ialah bikinannya sendiri, kerana sudah banyak kali SUPP khasnya mengajak supaya parti serpihan parti tertua di Sarawak itu kembali ke pangkuannya.

Tindak-tanduk PSB juga dilihat bukan mesra GSP.

Wong berkata, parti itu akan memeta laluan politiknya sendiri.

“Saya memulakan kerja politik saya pada 1991. Pada 1994 saya dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri,” jelasnya.

“Dalam keadaan politik semasa, saya terpaksa keluar dari Kabinet,” tegasnya.

Jadi, dia tiada pilihan, melainkan perlu melakarkan hala tuju politik beliau dan parti pimpinannya.

“Keputusan untuk keluar adalah selari dengan aspirasi dan harapan rakyat,” ujarnya dalam satu majlis di sini pada malam Ahad.

Menurut Adun Bawang Assan itu, cawangan PSB yang dibuka di seluruh Sarawak adalah untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Parti yang dijenamakan semula daripada UPP itu, dilaporkan akan bertanding di semua 82 kerusi dalam pilihan raya negeri ke-12.

Katanya lagi, PSB memberi tumpuan kepada kesatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.

Untuk itu, ujarnya, ia memerlukan dukungan rakyat.

Pada pertengahan Julai lalu  beliau dipetik berkata, parti itu akan menjadi parti bebas sepenuhnya.

Beliau telah meletak jawatan sebagai menteri kabinet negeri.

“Pendirian PSB ialah, sebaik saya meletak jawatan, PSB tidak lagi bersama GPS. PSB parti bebas sepenuhnya,” katanya dipetik berkata dalam sidang media.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang berkata PSB akan terus maju ke hadapan kerana mempunyai masa depan yang cerah.

Menjawab sama ada PSB akan menyertai Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Wong berkata perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.