KUCHING: Syukur, akhirnya kanak-kanak berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, ditemui malam tadi.

Abdul Azim Ahmad Dzulkarnain ditemui selamat di sebuah kedai makan di Batu 3, Jalan Sungai Maong, di sini sekitar pukul 11.45 malam tadi.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang dari rumah kediaman keluarganya di perumahan Mindef di Kota Semtosa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan dalam satu kenyataan berkata kanak-kanak itu ditemui seorang pengawal keselamatan.

“Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu berada di kedai makan Jolibee  dan diberi makan oleh seorang pekerja kedai Orang Kurang Upaya,” jelasnya.

“Mangsa menghabiskan masa di kedai makan tersebut,” katanya sambil menambah dia dijaga serta diberi makan oleh pekerja OKU di kedai berkenaan.

“Kanak-kanak terbabit  kemudiannya dibawa ke balai polis Kota Sentosa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kehilangan murid Tahun 5 SK Mejar Jeneral Dato Ibrahim disedari ibunya selepas memeriksa bilik tidurnya sekitar jam 12.30 malam.

 

“Punca kanak-kanak tersebut lari dari rumah adalah kerana takut dimarahi ibunya kerana kenakalannya,” kata Aidil.