SARIKEI: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak viral video atau gambar aktiviti penyembelihan lembu di sepanjang Hari Raya Aidiladha ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Yang Berhormat Datu Haji Len Talif Salleh berkata perbuatan sebegini boleh mengundang prasangka yang tidak baik kepada orang lain.

“Semasa aktiviti sembelih ini orang ramai diminta untuk tidak viralkan video dan gambar di media sosial.

“Kita tidak mahu ada netizen yang akan memainkan video penyembelihan ini yang boleh mengundang kepada prasangka tidak baik kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan acara penyembelihan lembu dan pengagihan daging korban sempena Program Qurban Perdana di Surau Darul Saadah Taman Susur Jambu di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata sebanyak 38 ekor lembu telah diagih dan disembelih bagi menyempurnakan Program Ibadah Qurban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Lembu-lembu ini dihantar ke surau dan masjid sekitar Sarikei dan Tanjung Manis.

“Sebanyak 38 ekor lembu telah diagih dan disembelih bersempena Program Ibadah Qurban Perdana tahun ini.

“Daripada jumlah itu, Pusat Khidmat Kuala Rajang telah menyumbang sebanyak 22 ekor, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang sebanyak 9 ekor, ADUN Repok Yang Berhormat Dato’ Sri Huang Tiong Sii sebanyak 5 ekor dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI) sebanyak 2 ekor,” katanya.

Program Qurban Perdana yang berlangsung di Perkarangan Masjid Al-Mutaqqin, Sarikei itu disertai pelbagai pertubuhan dan agensi kerajaan, termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sementara itu, Timbalan Residen Sarikei Abang Hj Forkan bin Abang Hj Budiman melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada mereka yang menyumbang lembu-lembu untuk ibadah Qurban tahun ini.

“Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, sumbangan ikhlas ini menzahirkan rasa kasih dan sayang serta sikap peduli rakyat.

“Lembu-lembu yang disembelih ini dagingnya akan diagihkan kepada penduduk di sekitarnya.

“Ini juga membolehkan lebih ramai penduduk berpeluang merasai daging korban, terutama golongan kurang berkemampuan,” ujarnya.

Hadir sama Penghulu Huang Tiong Kang yang mewakili Dato’ Sri Huang.