NEW DELHI: Kalau anda dihadiahi ibu bapa anda kereta BMW M3 pada hari ulang tahun, bagaimana perasaan anda?

Pasti gembira dan teruja, bukan?

Tetapi tidak demikian bagi seorang lelaki di India.

Sebaliknya, tanpa rasa bersalah, lelaki terbabit ‘membuang’ kereta BMW M3 yang diterima sempena ulang tahun kelahirannya ke dalam sungai.

Tidak hairan, klip video tersebut segera tular dan ramai mengecam tindakannya yang disifatkan sebagai tidak tahu bersyukur.

Ya, bagai tanpa rasa syukur, anak lelaki tuan tanah tempatan itu mahu kereta yang baginya lebih hebat, iaitu kereta Jaguar.

Menurut Daily Mail, Akash dari Haryana dipercayai bertindak demikian disebabkan tidak puas hati kerana tidak dihadiahkan kereta Jaguar oleh ibu bapanya.

“Sebagai tanda protes, dia menolak kereta tersebut ke dalam sungai,”  kata laporan itu.

Difahamkan,  harga sebuah kereta BMW ialah kira-kira RM206,167, manakala Jaguar adalah lebih mahal dan mencecah kira-kira RM294,521.