SEPANG: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak boleh mengusir Dr Zakir Naik kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu.

Namun, beliau berkata, sekiranya ada mana-mana negara yang mahu menerima penceramah berasal dari India itu, maka mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Kabinet beliau M.Kulasegaran yang mahukan individu itu diusir serta-merta kerana mengeluarkan kenyataan menghina penganut agama Hindu di negara ini.

“Masalah yang kami hadapi ialah kami tidak boleh menghantarnya pulang (ke India) kerana beliau menghadapi risiko untuk dibunuh,” tegasnya.

“Tetapi jika ada negara yang mahu menerimanya, mereka dialu-alukan berbuat demikian,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri program KLIA Turns 21: A Precious Legacy, di Lapangan Antarangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini seperti dilapor Astro Awani.