Anda dapat naiki bas hidrogen di Kuching mulai 15 September

KUCHING:  Anda tentu teruja untuk menaiki bas hidrogen di bandar raya ini.

Pengalaman pertama tentu mengasyikkan.

Ya, jangan risau.

Sebanyak tiga bas hidrogen akan beroperasi secara percuma mulai 15 September ini – sehari sebelum rakyat menyambut Hari Malaysia.

Laluannya termasuk Tebingan Kuching ke Santubong, Jalan Tun Abdul Rahman Yakub ke Medan Niaga Kubah Ria, Jalan Abell, Jalan Padungan, Jalan Sentral Timur, Jalan Tun Haji Openg, Jalan Satok, Jalan Kulas, Jalan Muda Hashim dan Jalan Datuk Ajibah Abol di sini.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata semalam menjelaskan dua bas disediakan untuk kemudahan orang awam, manakala satu lagi dikhaskan untuk pelancong.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pengagihan Daging Korban 2019 di Menara SEDC, Isthmus di sini.

Bas hidrogen ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, dengan bekalan tenaganya diperoleh melalui stesen yang dijana Sarawak Energy berhad.

Aziz berkata, pihaknya telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk memulakan perkhidmatan bas berkenaan.