22 ekor kerbau dikorbankan di Lawas

LAWAS: Sebanyak 22 ekor kerbau telah diserahkan di daerah Lawas sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Sumbangan kerbau untuk ibadah korban itu telah diserahkan boleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Berucap pada majlis penyerahan kerbau untuk ibadah korban di Kampung Pemukat, Kuala Lawas, semalam, beliau berharap Lawas mampu menjadi hab pengeluaran kerbau atau lembu ternakan di wilayah utara negeri ini.

Katanya, ia penting bagi memastikan bekalan daging kerbau atau lembu mencukupi menjelang sambutan perayaan utama di negeri ini.

“Menerusi penternakan kerbau dan lembu secara komersial, pengusaha juga boleh menjual hasil ternakan ke luar Lawas sekaligus menjana pendapatan kepada mereka.

“Dalam pada itu, semua projek kerajaan negeri yang dilaksanakan di Parlimen Lawas akan siap mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Sambil menambah, beliau memberitahu, komitmen menyiapkan projek-projek pembangunan itu jelas menunjukkan keperluan rakyat menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Sehubungan itu, penduduk di Lawas perlu memberi sokongan terus kepada kepimpinan kerajaan negeri masa kini,” ujarnya