Tun Mahathir akan berurusan terus dengan Ketua Menteri Sarawak, Sabah

0
16

KUCHING:  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berurusan secara langsung dengan Ketua Menteri Sarawak dan Sabah berhubung hak minyak dan gas.

Demikian disahkan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, semalam.

“Beliau akan berurusan secara langsung dengan Ketua Menteri Sarawak dan Sabah. Tetapi apa sahaja keputusan nanti, ia akan dibawa kepada  jawatankuasa pemandu juga,” katanya kepada media selepas ketika melancarkan program ibadah korban di Pusat Khidmat PBB Samariang di sini.

Menurut  Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek itu, Sarawak dijangka akan mencapai kata putus tentang hal tersebut pada akhir tahun ini.

“Kami jangka pada Oktober atau penghujung tahun, kami akan dapat merumuskan segala perbincangan berkaitan MA63,” jelasnya.

Jelasnya, sebelum ini rundingan dibuat menerusi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Namun, katanya lagi, dalam mesyuarat jawatankuasa pemandu terakhir bulan lepas, Perdana Menteri mengumumkan akan mengambil alih sendiri rundingan berkenaan.

“Justeru, beliau akan berurusan secara langsung dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak,” katanya.