PUTRAJAYA: Pembayaran fasa ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dilaksanakan mulai 28 Ogos ini, membabitkan hampir 3.6 juta penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.23 bilion, kata Kementerian Kewangan.

Katanya pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing, menggunakan maklumat akaun bank semasa pembayaran fasa kedua BSH.

BSH ialah program kerajaan demi kesejahteraan ekonomi rakyat, dengan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) meringankan kos sara hidup mereka.

Menurut kementerian itu, sejumlah RM2.85 bilion telah disalurkan bagi bayaran fasa pertama pada Januari dan fasa kedua pada Mei kepada isi rumah yang diluluskan, termasuk bayaran kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksimum empat anak.

Anak tanggungan merujuk kepada anak berumur 18 tahun dan ke bawah dan juga anak orang kurang upaya (OKU) tanpa had umur, katanya.

Katanya dalam satu kenyataan, bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos dan pembayaran bagi mereka yang diluluskan rayuannya dijangka akan dibuat pada September depan.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.